Dunia Patut Protes Hukuman Mati Terhadap Morsi, Qardhawi

SHAH ALAM, 17 May – Semua negara yang memperjuangkan Hak Asasi Manusia diminta memberi tekanan kepada Mesir agar tidak terus mengikut telunjuk Israel, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan.

image

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas Presiden, Mohamed Morsi dan lebih 100 tertuduh lain kerana rusuhan pada 2011.

“Semua negara khususnya negara Barat yang selama ini memperjuangkan hak-hak asasi manusia, yang memperjuangkan demokrasi, yang memperjuangkan pelbagai sistem yang beteraskan ketelusan perlu memberi tekanan kepada kerajaan Mesir supaya tidak hanya mengikut telunjuk Barat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Amidi, tindakan Mahkamah Mesir itu juga akan memberikan imej yang buruk kepada sistem keadilan negara berkenaan.

Justeru, tekanan pihak antarabangsa perlu dipertingkatkan kerana ia bukan sahaja hukuman kepada pemimpin Islam sebaliknya kepada rakyat yang memperjuangkan demokrasi.

“Ini akan memberikan satu imej yang buruk terhadap sistem keadilan di Mesir.

“Saya kira tekanan kepada Antarabangsa perlu dipertingkatkan khususnya kepada Mesir yang sebenarnya bukan sahaja menghukum pemimpin kebangkitan Islam tetapi sebenarnya menghukum mereka yang memperjuangkan hak rakyat, mereka yang memperjuangkan kemanusian dan mereka yang mahukan sistem pentadbiran kerajaan yang lebih telus,” tegasnya.

Malah, Amidi berkata apa yang berlaku kini ekoran ketamakan kuasa Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi menghapuskan saingan politiknya.

“Sebenarnya yang berlaku adalah ‘Mahkamah Kangroo’, mahkamah yang mengikut telunjuk presiden ICC untuk menghapuskan saingan politik beliau,” jelasnya.

Katanya, ini juga jelas memperlihatkan sifat ‘talam dua muka’ Amerika Syarikat selaku kuasa besar sanggup untuk berpura-pura menyokong demokrasi namun apabila tekanan diberikan negara itu mengambil sikap berdiam diri.

“Ini menunjukkan bahawa Amerika bersifat ‘talam dua muka’ atau ‘double standart’ yang menunjukkan wajah sebenar apabila takut dengan kebangkitan mereka yang mencintai kebenaran dan juga kemanusian.

“Perkara ini juga sebenarnya dipengaruhi oleh Israel atau Yahudi kerana Morsi merupakan presiden Mesir yang bertanggungjawab membuka sempadan Gaza untuk menyelamatkan dan membantu rakyat Palestin yang ditekan, diserang oleh pihak Yahudi,” katanya.

Tambahnya lagi, hukuman kepada Morsi itu juga boleh dilihat daripada tiga aspek.

“Yang pertama, untuk musnahkan saingan politik ICC. Yang kedua, adalah sebagai satu hukuman kepada rakyat Mesir yang memilih demokrasi, yang mahukan satu sistem pentadbiran yang baik dan tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat.

“Ketiga, hukuman kepada Morsi ini  jelas menjurus kepada penafian hak-hak kemanusian khususnya kepada rakyat Palestin yang dibunuh dan ditindas saban hari oleh rejim Israel dan Zionis,” tambahnya.

Mahkamah Mesir pada Sabtu menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas Presiden, Mohamed Morsi dan lebih 100 tertuduh lain kerana rusuhan di penjara pada 2011.

Morsi berada di kandang tertuduh apabila hakim membacakan keputusan itu.

Turut dibicarakan tanpa kehadiran, termasuk ulama Islam terkenal, Yusuf Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar.

Kes seperti ini kebiasaannya akan dirujuk kepada pihak berkuasa agama Mesir iaitu pejabat Mufti, bagi mengemukakan pendapat sebelum apa-apa hukuman dilakukan.

Mahkamah akan mengumumkan keputusan muktamad pada 2 Jun ini. Morsi terlepas hukuman mati satu daripada dua perbicaraan yang berakhir pada Khamis, di mana mahkamah dinasihatkan agar menjatuhkan hukuman mati diberi kepada 16 tertuduh lain di atas pertuduhan pengintipan.

Mereka telah didakwa bersekongkol dengan kuasa asing, Hamas (Palestin) dan Iran untuk menjejaskan kestabilan Mesir.

Advertisements