Ekhsan Sah Terima Surat Pemecatan, Ikrar Terus Bangkit Tegakkan Hak

SHAH ALAM, 21 May – Guru Kafa yang mencetuskan kontroversi berhubung tuntutannya bersabit kenaikan elaun untuk golongan tenaga pengajar itu, mengesahkan telah menerima surat pemecatan semalam.

image

Guru Kafa berkenaan, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, mengesahkan perkara berkenaan menerusi satu status di Twitter.

Beliau juga akan membuat kenyataan susulan daripada pemecatan itu dalam satu sidang akhbar, di hadapan Pintu Pagar utama Bangunan SUK Negeri Selangor, dijangka pada pagi esok.

Saya akan akhiri amanah di sekolah dengan bersemangat. Kenyataan khusus berkenaan surat pemecatan saya akan menyusul. Bukan berhenti bila jatuh tapi bangkit!,” tulisnya dalam Twitter.

Memetik satu portal, guru muda itu juga memaklumkan pemecatannya akan berkuatkuasa pada 1 Jun ini.

Ekhsan sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menceroboh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Awal April lalu, berikutan mahu menyerahkan memorandum tuntutan kenaikan elaun guru Kafa kepada semua ADUN.

Beliau bertindak sedemikian kerana mendakwa kerajaan negeri masih gagal menaikkan elaun guru Kafa di Selangor dari RM 1,300 kepada RM1,500 walaupun ia termaktub dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ekoran daripada itu, Ekhsan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menjelaskan tindakannya itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi masih gagal dihubungi untuk mengulas lanjut perkembangan terbaharu itu.

Advertisements