KDNK Malaysia Dijangka Cecah RM2.6 Trilion Pada 2030

KUALA LUMPUR 21 Mei – Malaysia akan kekal sebagai ekonomi terbuka dan lebih berintegrasi dengan ekonomi serantau dan dunia pasca 2020, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir sekali ganda kepada RM2.6 trilion pada 2030 berbanding RM1.4 trilion pada 2020.

image

Ekonomi akan didominasi aktiviti berintensifkan pengetahuan dan bernilai tambah tinggi, dan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Pada 2030, lebih 40 peratus daripada jumlah pekerjaan akan melibatkan pekerja mahir berbanding kira-kira 35 peratus pada 2020,” kata Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan rancangan lima tahun (2016-2020) itu di Parlimen hari ini.

Oleh itu, RMK11 merupakan batu loncatan dan asas perjalanan bagi Malaysia, katanya dalam bab bertajuk ‘Malaysia Pasca 2020’.

“Pada 2030, KDNK per kapita diunjur meningkat lebih sekali ganda kepada RM117,260 berbanding RM54,890 pada 2020.

“Ekonomi akan lebih progresif, inklusif, mampan dan sesuai untuk masa depan dengan bandar raya produktif bertaraf dunia dan kawasan luar bandar yang cergas,” demikian menurut dokumen RMK-11.

Perdagangan dunia dijangka berkembang kepada US$44 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding US$26 trilion yang diunjurkan bagi 2020. – BERNAMA