Kewajipan Mentaati Pemimpin Dalam Islam

image

Kewujudan kepimpinan yang stabil bagi sesebuah negara dilihat sebagai satu aspek penting dalam Islam.

Tanpa pemimpin, kepentingan rakyat tidak akan dapat ditabdir dengan baik. Apabila masyarakat dibiarkan tanpa pemimpin, nescaya keadaan akan menjadi huru-hara di mana golongan yang kuat menindas kelompok yang lemah.

Tanpa pemimpin, undang-undang rimba akan ditegakkan dan kezaliman pasti bermaharajalela.

Melihat kepada kepentingan, mak urusan kepimpinan merupakan salah satu dasar utama dalam Islam. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran:

Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa. (Surah al-Nur: 555)

Lantaran itu, agama telah meletakkan beberapa dasar penting tentang bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat di dalam sesebuah negara Islam.

Ketaatan kepada pemimpin merupakan satu perkara pokok bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Allah memerintahkan:

Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu. (Surah al-Nisa’ : 59)

Namun begitu, Islam hanyalah menetapkan  kewajipan untuk  mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang berunsur maksiat. Sabda Rasulullah SAW:

“Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap muslim dan dalam hal yang dia suka atau benci selagimana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat, maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat.” (Riwayat Bukhari)

Sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan kita supaya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak, yang diingakri hanyalah perbuatan tersebut.

Tetapi, kesetiaan kepada pemimpin itu tetap perlu diteruskan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seseorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi, jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu). (Riwayat Muslim)

Sekiranya pemimpin melakukan kesalahan, maka hendaklah mereka dinasihati secara baik dengan niat hanya untuk membawa kebaikan kepada masyarakat tanpa ada motif-motif lain.

Di dalam Musnad Ahmad (hadith no 23278), Rasulullah telah menyenaraikan tiga perkara yang Allah meredhai hamba-hambaNya untuk melakukan yang mana salah satu daripadanya adalah

Kamu menasihati orang yang Allah angkat menjadi pemimpin atas urusan kamu.

Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka, lebih-lebih lagi dengan kata-kata berbentuk cacian dan penghinaan atau bertujuan untuk menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap mereka.

Kita perlu menyedari bahawa pemimpin adalah manusia biasa yang adakalanya melakukan kesilapan dan kadangkala berbuat kebaikan kepada masyarakat.
Namun, jika pemimpin melakukan sesuatu kesilapan, itu bukanlah bererti yang  kita boleh mencela mereka. Tetapi, hendaklah kita menasihati dan menjelaskan kesalahanya dengan cara yang baik. Rasulullah SAW telah mencontohkan kepada umatnya tentang cara untuk menasihati pemimpin:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukan secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi.

Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat tersebut) maka itulah yang diharap-aharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat tersebut) telah melaksanakan tanggungjawabnya.” (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya)

Berdasarkan prinsip ini, ia bukanlah bermakna umat Islam hanya membisu apabila kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, korupsi, kroniseme dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pemimpin.

Kemaksiatan serta kezaliman tetap perlu diingkari dan dijelaskan kepada masyarakat bahawa perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan syara’ juga terlarang.

Hanya sahaja pengingkaran terhadap kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin itu tetap perlu mengikut tatacara yang telah diperintahkan oleh Rasulullah.

Nabi Muhammad juga telah meramalkan dengan bimbingan wahyu ILAHI bahawa pada masa hadapan akan wujud pemimpin yang mentadbir dengan tidak mengikuti ajaran baginda.

Namun, baginda tetap menyuruh umat Islam untuk taat dan tidak wujud tanda-tanda jelas bahawa mereka telah murtad. Rasulullah S.A.W bersabda:

Perangi (sahaja) dengan pedang?” Baginda menjawab: ‘Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kamu” (Riwayat Muslim)

Demikianlah beberapa prinsip penting Islam berkenaan bagaimana muslim harus berurusan dengan pemimpin di sesebuah negara Islam.

Ini penting kerana ia berfungsi untuk mencapai kestabilan politik dan kesatuan yang merupakan faktor utama bagi membentuk umat Islam yang kuat serta digeruni musuh.

Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan menggembirakan musuh-musuh Allah. Wallahu a’lam.
Sekian.

Advertisements