Wira ‘Black Hawk Down’ Terkilan Dan Perlukan Pembelaan

KUANTAN, 24 May – Selepas 23 tahun insiden berdarah Mogadishu, Somalia, bekas Pegawai Waran II, Sabri Adun, masih tidak dapat menahan rasa sedih setiap kali diminta menceritakan kembali kejadian itu.

image

Sepanjang pertempuran kira-kira tujuh jam di pekan Mogadishu itu, Sabri, 43, hampir terkena tembakan musuh ketika mengusung rakannya yang cedera.

“Saya sentiasa cuba mengelak setiap kali diminta menceritakan kembali detik cemas yang kami hadapi pada malam 3 Oktober 1993. Bukan sebab saya trauma tapi ada rasa terkilan jauh di sudut hati ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Beliau yang menamatkan perkhidmatan pada tahun 2013 dengan pangkat Pegawai Waran II di Briged 4 Mekanis Kem Batu 10 Kuantan, berkata walaupun pernah dipanggil untuk sesi temu bual oleh Kementerian Pertahanan pada tahun 1997 dan 2002, namanya tidak tersenarai dalam penerima Pingat Gagah Berani (PGB).

“Saya sudah penat, kecewa dan ada kalanya marah setiap kali memikirkan perkara ini. Ketika masih dalam perkhidmatan dulu, boleh dikatakan setiap tahun saya menanti berita atau surat penghargaan daripada pihak berkenaan.

“Sehinggalah saya memilih untuk bersara tiga tahun lalu, tidak ada apa-apa pun saya terima. Cuma ada kawan yang mengenali dan mengetahui kisah sebenar, sering memuji saya atas keberanian. Itu sahajalah yang boleh saya jadikan kenangan manis.

“Saya masih ingat pada 1997, Kementerian Pertahanan meminta saya menghantar gambar untuk rekod mereka dan kononnya untuk pertimbangan dalam senarai penerima anugerah. Saya terpaksa menggadaikan cincin isteri kerana kesempitan kewangan untuk memenuhi permintaan mereka.

“Namun, selepas itu tidak ada khabar berita langsung diterima daripada pihak berkenaan,” katanya yang kini bertugas sebagai jurulatih bahagian persenjataan di DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech), Pekan, Pahang.

Sabri berkata, ia bukan soal pingat atau pengiktirafan lain tetapi lebih kepada persoalan kenapa beliau seolah-olah tidak wujud dan tidak terbabit dalam insiden berkenaan.

Katanya, ketika berbalas tembakan sepanjang malam 3 Oktober hingga awal pagi 4 Oktober, beliau yang ketika itu hanya prebet diarahkan mengendalikan komunikasi di antara pasukan MALBAT dan Unit Elit Rangers Amerika Syarikat.

“Kenderaan perisai yang saya pandu teruk diserang dalam kejadian ini dan saya yang mengangkat rakan kami, menyelamatkan anggota ATM termasuk Prebet Rizal Ismail yang parah dalam serangan berhampiran Pasar Bakara,” katanya.

Mengimbas kembali insiden itu, Sabri yang berasal dari Segamat, Johor, berkata semua anggota yang berada dalam kereta perisai terpaksa turun bagi mengelak terperangkap dalam kenderaan itu dan mencari tempat perlindungan.

Katanya, Rizal cedera pada kepala akibat terkena ledakan RPG, yang ditembak pada bahagian belakang kereta perisai dipandunya.

“Kami terpaksa merangkak dalam keadaan gelap memasuki rumah penduduk di kawasan berkenaan. Ketika itu, saya nampak beberapa rakan cedera, termasuk Rizal yang parah di kedua-dua paha.

“Saya terpaksa mengoyakkan seluar Rizal dan mengeluarkan serpihan besi dipercayai peluru RPG yang melekat pada pahanya. Rizal seperti sudah putus asa, beberapa kali memberitahu saya yang dia akan mati, namun saya terus memberi semangat kepadanya.

“Memandangkan saya hanya memiliki satu set kain pembalut luka, saya menemui anggota tentera Amerika Syarikat dan meminta satu set lagi kain pembalut luka bagi membalut kecederaan dialami Rizal,” katanya.

Sabri berkata, selepas selesai membalutnya, beliau dibantu tiga lagi anggota mengangkat Rizal melepasi kawasan lapang sebelum tiba ke lokasi pemindahan yang dilakukan oleh kereta perisai lain.

Katanya, beliau dan tiga rakannya itu terpaksa mempertaruhkan nyawa membawa usungan walaupun bedilan bertali arus masih dilancarkan pemberontak ketika itu.

“Seorang anggota tentera Amerika Syarikat ditugaskan melindungi kami ketika proses membawa Rizal ke lokasi pemindahan, namun dia terkorban apabila ditembak beberapa kali oleh pemberontak.

“Saya amat bernasib baik kerana peluru ditembak pemberontak itu cuma melintasi beberapa inci daripada badan saya. Namun, tentera Amerika Syarikat terbabit tidak bernasib baik dan terkorban,” katanya.

Advertisements