1MDB: PAC Akan Pertimbang Untuk Memanggil Najib

KUALA LUMPUR, 27 May – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memutuskan untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberi keterangan selepas meneliti maklumat yang diperoleh hasil siasatan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

image

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi jaminan pihaknya akan mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam mengendalikan prosiding kes berkenaan.

“Tolong bersabar. Pertama sekali kita akan panggil pegawai untuk mengenal pasti kementerian yang terlibat, kemudian kita panggil pengurusan, selepas itu firma audit dan barulah lembaga pengarah.

“Selepas maklumat diperolehi, kita akan putuskan siapa yang akan dipanggil seterusnya dan mungkin termasuk Perdana Menteri. Namun kita perlu ikut prosedur,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Terdahulu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendesak PAC untuk memanggil Najib bagi memberi keterangan.

Ini berikutan Memorandum dan Tata Urusan Syarikat (M&A) Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), pendahulu kepada 1MDB menghendaki semua urusan perlu diluluskan oleh Najib.

Selain itu, Nur Jazlan berkata, pihaknya menetapkan 10 Jun ini untuk juruaudit antarbangsa, Deloitte & Co memberi keterangan, manakala firma KPMG pada 17 Jun.

Beliau berkata, notis memaklumkan perkara tersebut telah dihantar ke Kementerian Kewangan dua hari yang lalu.

“Kita akan panggil dua juruaudit terlebih dahulu dan seterusnya juruaudit ketiga, Ernst & Young,” katanya sambil menambah tarikh prosiding untuk Ernst & Young belum diputuskan.

Tambahnya lagi, PAC memerlukan dua minggu notis untuk menerima maklum balas pihak berkaitan untuk hadir ke prosiding.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil semula Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO 1MDB, Shahrol Halmi sebaik sahaja selesai sesi pendengaran dua firma audit yang berkaitan.

“Kita boleh panggil kedua-duanya (CEO) semula. Untuk kali ini, kita boleh terima penangguhan mereka, tetapi selepas ini tidak lagi,”katanya.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai itu berkata, notis jemputan PAC telah hantar pada 6 Mei lalu kepada Kementerian Kewangan yang meminta Arul untuk hadir bagi sesi pendengaran pada 26 Mei.

Pada Selasa, Arul menyatakan syarikat 1MDB hanya menerima notis jemputan itu pada 21 Mei lalu.