Penipuan Insurans Meningkat Seluruh Dunia

KUALA LUMPUR, 29 May – Kadar penipuan insurans terus meningkat pada tahap yang membimbangkan di seluruh dunia, dengan peningkatan teknologi dikenal pasti antara punca yang menjadikannya lebih serius, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.

imageBeliau berkata, di UK pusat pasaran insurans terbesar di Eropah dan ketiga terbesar di dunia, penipuan tuntutan insurans melebihi 2.1 bilion pound, dengan hampir 60 peratus melibatkan insurans permotoran (kenderaan).

Beliau berkata, situasi itu tidak jauh berbeza dengan Malaysia, dengan penipuan insurans juga serius dalam segmen permotoran, membabitkan anggaran kerugian RM760 juta yang dialami penginsurans dan operator takaful pada 2013 sahaja.

“Selari perkembangan pesat dalam saluran tumpuan pengguna seperti aplikasi mudah alih dan dalam talian di seluruh dunia, begitulah juga dengan risiko penipuan.

“Penipu kini boleh melakukan penipuan yang lebih sukar, mahal dan licik, sebagai contoh menerusi penipuan Internet yang boleh dilakukan secara maya dan pada masa yang sama dilindungi kedudukan tanpa nama,” kata Muhammad dalam ucaptama pada Forum Maklumat dan Penentuan Kadar Insurans Asia 2015 (IIRFA), di sini baru-baru ini.

Muhammad berkata, di sinilah organisasi penentuan kadar boleh memain peranan penting dalam menangani penipuan ini, terutama di peringkat industri.

“Pemilikan data yang lengkap milik mereka akan membolehkan organisasi penentu kadar menilai dan menyemak data bagi membentuk paten dan trend penipuan,” katanya.

Beliau berkata dalam negara, Insurance Services Malaysia (ISM) dan Motordata Research Consortium adalah contoh agensi penentu kadar yang menyediakan data analitis nilai tambah kepada industri.

Sistem Risikan Penipuan (FIS) yang sedang dibangunkan oleh ISM menyediakan ruang yang menarik kepada industri insurans dan takaful Malaysia.

Pada peringkat awal FIS akan memberi tumpuan ke atas segmen pemotoran dan akhirnya meliputi keseluruhan kelas insurans dan takaful.

Usaha ini merupakan inisiatif penting dalam menangani penipuan, katanya dan menambah, tindakan membasmi penipuan tidak ada titik noktahnya dan mesti dilakukan secara berterusan. – Bernama

Advertisements