Najib Razak Yakin Perlis Akan Terus Menjadi Kubu Kuat BN

KANGAR, 30 May – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Perlis akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) selepas menerima sokongan daripada ‘dua kepala’ di negeri utara tanah air itu.

image

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sokongan yang diterimanya daripada ‘kepala politik’ Datuk Seri Shahidan Kassim dan ‘kepala kerajaan’ Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man amat penting kepada kekuatan BN negeri.

“Di Perlis ada dua kepala, satu kepala politik dan satu lagi kepala kerajaan. Jika dua-dua kepala ini sehaluan maka Perlis akan jadi kuat.

Sebelum ini kepala politik Shahidan telah memberi sokongan tidak berbelah-bagi kepada saya dan sebentar tadi kepala kerajaan kata, biar kilat sabung-menyabung beliau akan beri sokongan.

“Ini menjadikan saya boleh tidur lena dan tidak keseorangan. Sokongan ini penting kerana kita perlukan kerajaan yang kuat,” katanya kepada kira-kira 5,000 yang hadir pada majlis jamuan mesra rakyat Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.

Terdahulu, Azlan dalam ucapannya pada majlis itu telah menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada perdana menteri dan kerajaan.

Shahidan yang merupakan bekas Menteri Besar Perlis ialah anggota Parlimen Arau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.