“Saya Tidak Akan Letak Jawatan” – Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan beliau akan melepaskan jawatannya dalam kabinet seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

image

Dalam respons kepada soalan pengikut Twitter beliau @Nessie43: “adakah Datuk Seri akan keluar (daripada kabinet)? Apakah yang akan mereka lakukan tanpa Datuk Seri”,

Hishammuddin menjawab: “Tidak. saya tidak akan (keluar). Putar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab.”

Laporan portal berita Free Malaysia Today yang meramalkan Hishammuddin berkemungkinan melepaskan jawatan beliau dalam kabinet, dipetik oleh akhbar harian berbahasa Inggeris, The New Straits Times, Rabu.

Selain Hishammuddin, laporan itu turut meramalkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mungkin turut meletak jawatannya dalam kabinet.

NST hari ini melaporkan perkara itu timbul berikutan kata dua yang diberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu IMalaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan menyebut Hishammuddin tidak hadir dalam mesyuarat mingguan kabinet pada Jumaat lepas ketika Najib dilaporkan memberi kata dua kepada jemaah menteri, meminta mereka melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak menyokong beliau berhubung isu 1MDB.

Dalam tweet pada Isnin lepas, Hishammuddin berkata beliau akan menyokong kata dua itu asalkan ia memenuhi tiga syarat, yang mengetengahkan pentingnya kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menyelesaikan hutang syarikat itu yang berjumlah RM42 bilion.

Menteri pertahanan dalam mesej Twitter pada Isnin, menyatakan : “Setuju, dengan syarat: 1) rasionalisasi 1MDB, 2) kebertanggungjawaban jika ada kesalahan, dan 3) ketelusan (dalam syarat 1 dan 2).” – Bernama

Advertisements