Wan Azizah Kesal DAP Dan PAS Punca Pakatan Rakyat Terkubur

PETALING JAYA, 17 Jun – Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka menyatakan kekesalannya berhubung tindakan dua sekutunya, masing-masing PAS dan DAP hingga menyebabkan berakhirnya riwayat Pakatan Rakyat.
image“PKR kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengumumkan penamatan riwayat Pakatan yang kami anggap tindakan tergesa-gesa.

“Ekoran itu, gabungan politik Pakatan tidak lagi berfungsi secara formal,” kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kenyataan itu dibuat bagi mengumumkan pendirian PKR seperti mana yang diputuskan pada mesyuarat biro politik parti itu yang berlangsung di ibu pejabat perti itu, malam Selasa.

Bagaimanapun, tegas Dr Wan Azizah, status quo pakatan pembangkang itu masih kekal di Selangor dan Pulau Pinang.

“Atas semangat dan permuafakatan, Pakatan Rakyat di Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus kekal.

“Dan semangat yang sama, serta tertakluk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, parti akan terus memberi sokongan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, PKR akan terus merintis usaha membina permuafakatan parti politik, NGO, kumpulan rakyat dan tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional.