Perolehan Aset 1MDB Didorong Oleh Pandangan Jangka Panjang

1MDB merujuk sebuah artikel Wall Street Journal baru-baru ini yang mendakwa bahawa 1MDB telah terlebih bayar untuk pembelian aset-aset tenaga mereka.
imageSeperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, kami hanya membeli aset- aset apabila kami yakin bahawa ia mempunyai nilai jangka panjang, dan untuk mendakwa bahawa mana-mana pembelian kami didorong oleh kepentingan politik adalah tidak benar sama sekali.

Hakikatnya, dakwaan-dakwaan ini adalah ulangan tuduhan-tuduhan lama yang didorong oleh musuh-musuh politik Kerajaan, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dakwaan-dakwaan ini tidak pernah dibuktikan atau disokong dengan bukti, sama seperti Tun Mahathir yang tidak pernah mengemukakan apa-apa bukti untuk dakwaannya mengenai kehilangan RM42 bilion dari 1MDB, kerana realitinya adalah, RM42 bilion tersebut merupakan hutang yang disokong dengan aset-aset bernilai RM51 bilion.

1MDB mengambil pandangan jangka panjang terhadap nilai apabila menjalankan sesuatu transaksi; bukan hanya untuk syarikat, tetapi juga untuk negara, sejajar dengan pemilikan mutlak 100% kami oleh Kerajaan Malaysia.

Harga pembelian yang kami bayar adalah berdasarkan pandangan jangka panjang ini dan nasihat yang diterima daripada penasihat penilaian bebas serta keadaan pasaran pada masa itu.

Atas dasar ini, kami percaya bahawa nilai yang dibayar untuk perolehan aset yang mungkin melibatkan pembayaran premium dalam keadaan tertentu, seperti yang biasa dilakukan apabila memperoleh perniagaan lain adalah sejajar dengan potensi sedia ada dan masa depan aset-aset tersebut.

Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa sejak mengambil alih aset tenaga yang pertama pada tahun 2012, 1MDB telah membina sebuah pengeluar tenaga bebas antarabangsa yang terkemuka di Asia Tenggara.

Portfolio ini kini terdiri daripada 13 loji janakuasa di lima buah negara, termasuk hak untuk membina lagi loji janakuasa gas dan solar.

Kini, Edra Energy merupakan pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia, dan yang terbesar di Mesir dan Bangladesh, serta mempunyai operasi tambahan di Pakistan dan UAE (Emiriah Arab Bersatu).

Secara keseluruhan, ia mempunyai kapasiti kasar (gross installed capacity) berjumlah 6,619MW dengan kapasiti efektif kira-kira 5,594 MW.