Agenda Ekonomi Orang Melayu Melalui Dasar Ekonomi Baru

SEJAK kebelakangan ini polemik agenda ekonomi Melayu telah dibangkitkan semula oleh para pemikir kita. Mereka mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berjaya mengubah kedudukan orang Melayu dengan amat ketata dari tahun 70-an sehingga 90-an.
imageWalau pun begitu, mereka berpendapat kejayaan selama lebih 20 tahun itu nampaknya kini seolah-olah terhakis dan tidak lagi dipertahankan.

Biar apa pun pandangan yang diberikan, persoalan agenda ekonomi Melayu ini perlu dikupas dan dibahas dalam kontels dan kerangka yang lebih tepat.

Kita perlu mempunyai perspektif seimbang dan bersifat jangka panjang. Secara mutlaknya, kita tidal boleh menafikan bahawa pencapaian ekonomi orang Melayu sejak tiga dekad yang lalu amat lah menakjubkan.

Pada tahun 70-an, Bumiputera hanya mampu memiliki modal saham syarikat berhad sebanyak RM125 juta. Pada tahun 2002, angka ini mencecah RM73 bilion iaitu peningkatan purata sebanyak 22% setahun atau 595 kali ganda daripada jumlah asal.

Manakala pendapatan isi rumah pula, purata pendapatan kasar Bumiputera meningkat daripada RM492 sebulan pada tahun 1980 kepada RM2,376 pada tahun 2002 iaitu peningkatan purata sebanyak 7.4% setahun.

Selain itu, golongan profesional juga sering dijadikan kayu ukur kepada kemajuan bangsa. Sebagai contoh, pada tahun 1980 cuma terdapat 341 doktor Bumiputera di negara ini.

Pada tahun 2002, bilangan doktor Melayu Bumiputera meningkat lebih sepuluh kali ganda kepada 5,346 orang.

Kalau dahulu bilangan doktor Bumiputera cuma 10%, jumlah yang amat kecil berbanding doktor daripada kaum-kaum lain tetapi pada hari ini peratusan doktor telah meningkat kepada 39% dan merupakan kumpulan yang paling besar dalam bidang ini.

Begitu juga pencapaian kita didalam membasmi kemiskinan yang mana impaknya terlalu besar keatas bangsa Melayu.

Dalam masa tiga dekad yang lampau, kita telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 50% menurun kepada 5% dan kerajaan berikrar untuk terus menghapuskan kemiskinan tegar dalam masa lima tahun ini.

Saya ajukan fakta-fakta ini untuk mengingatkan kita semua bahawa Melayu sudah mara jauh kehadapan dari segi ekonomi tanpa perlu dibandingkan dengan kaum lain.

Hakikatnya kita mampu mencapai perubahan besar ini dalam tempoh satu generasi sahaja.

Jika dahulu ayahnya seorang petani, kini anaknya menjadi profesional yang berjaya di bandar.

Kalau dahulu ibunya seorang bidan kampung, anaknya kini menjadi pakar sakit puan di hospital.

Kenyataannya, ini lah satu kejayaan mobiliti sosial pembangunan bangsa yang amat menakjubkan. Kita patut bersyukur dan berbangga atas kejayaan kita ini yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Disebalik kejayaan yang telah dicapai, kita juga harus sedar bahawa agenda ekonomi orang Melayu merupakan satu agenda perjuangan yang belum selesai.

Landasan untuk menjadi bangsa yang terbilang menuntut kita mengambil langkah-langkah yang tepat dan terancang.