Lim Guan Eng Istihar PAS Sebagai Musuh

GEORGE TOWN, 9 Julai – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengisytiharkan PAS sebagai musuh susulan keputusan bekas rakan pakatannya itu yang mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan isu pemecatan wakil mereka dalam Pihak Berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

imageLim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi berkata jika PAS mahu mengambil tindakan undang-undang tersebut, maka parti itu sudah menjadi seperti pihak lawan yang memusuhi kerajaan negeri pimpinannya.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ia tidak lagi ada hubungan dengan DAP,” kata Lim dalam sidang akhbar di George Town kelmarin.

Lim dipetik berkata demikian oleh Malaysiakini sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang menyebut pihaknya telah mengarahkan peguam mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil bagi mempertahankan ahli parti yang telah dipecat oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, PAS kini telah berubah sejak parti itu dikuasai sepenuhnya oleh pucuk pimpinan baru (kumpulan ulama pro Hadi) yang terlibat secara langsung meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP semasa muktamar baru-baru ini.

Dalam pada itu menurut laporan Malaysiakini itu juga Lim dilaporkan mengalu-alukan tindakan undang-undang itu dengan berkata terpulang kepada rakyat untuk menghakimi tindakan oleh PAS.

“Kita akan bertemu mereka di mahkamah,” kata Lim lagi.

Advertisements