Zahid Hamidi Dilantik TPM Baharu Ganti Muhyiddin

PUTRAJAYA, 28 Julai – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.
imageBeliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pengumuman rombakan Kabinet pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan untuk menggantikan Muhyiddin termasuk rombakan kabinet setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran supaya komited dan fokus terhadap negara.

Zahid, 62, merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh sejak 1995.

Naib Presiden Umno ini memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sejak 2013.

Terdahulu, Zahid menjadi Menteri Pertahanan antara 2009 dan 2013.

Zahid sebelum ini merupakan bekas Ketua Pemuda Umno sejak 1996.

Pada pilihan raya umum 2004, Zahid dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan dua tahun kemudian sebagai Timbalan Menteri Penerangan.

Dalam Kabinet Mac 2008 beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bapa kepada lima orang anak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya pada 1976.

Beberapa tahun yang lalu, beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sebelum menceburi bidang politik Ahmad Zahid adalah seorang pegawai bank dan pernah berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Berdasarkan pengalaman itu juga beliau dilantik menjadi Pengerusi BSN pada 1995 sebelum melepaskan jawatannya pada 1998.

Pada 1999, Zahid dilantik pula sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).