Piala Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2015: Penyertaan Pertama Bawa Tuah

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Minat yang mendalam terhadap bahasa dan budaya asing membawa tuah kepada peserta Hungary, Laki A’ron Bence, 27, apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015.

imagePelajar Sarjana Tamadun dan Sejarah Islam di Universiti Eutvos Lorand itu berkata, beliau tidak menyangka layak ke peringkat itu kerana niat awalnya hanya untuk mencuba ketika rakan sekuliah mendaftarkan namanya bagi menyertai pertandingan tersebut.

Beliau yang sedang meneruskan program biasiswa di Universiti Negeri, Jogjakarta, Indonesia memberitahu amat berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan sekuliah yang banyak membantu dan memberi sokongan kepada dirinya supaya menyertai pertandingan itu.

“Ini merupakan pertandingan besar pertama yang pernah saya sertai seumur hidup dan tidak menyangka telah berjaya menewaskan peserta-peserta lain dalam saringan awal semalam dan hari ini peringkat suku akhir.

“Sejujurnya saya langsung tiada pengalaman atau pengetahuan mengenai pertandingan ini kerana ia penyertaan buat kali pertama, jadi saya hanya berdoa supaya semuanya dipermudahkan dan jika nasib menyebelahi saya, wang ganjaran itu akan digunakan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) pula tahun depan,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui selepas diumumkan sebagai antara 10 peserta kategori Antarabangsa yang layak ke peringkat separuh akhir PABM Piala Perdana Menteri di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dekat sini hari ini.

Sementara itu, peserta Madagascar, Kabora Floria, berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan atau sasaran untuk menang kerana tujuan utama menyertai pertandingan itu adalah menimba pengalaman dan mengumpul kenalan baharu.

“Saya tidak kisah menang atau kalah kerana paling utama bagi saya adalah berkenalan dengan ramai kawan baharu dari pelbagai negara, mungkin mereka boleh membantu saya pada masa hadapan sebab hobi saya adalah melancong ke luar negara.

“Penyertaan dalam pertandingan ini juga merupakan peluang kepada saya untuk melihat keindahan bandar raya Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan lebih dekat kerana ini merupakan kunjungan pertama saya ke Malaysia,” kata pelajar Ijazah Ekonomi di Universiti Toamasina ini.

Dalam pada itu, Eiko Akazawa, 22, memberitahu, beliau mengambil masa tiga bulan untuk berlatih menyanyi lagu Hijau dendangan Zainal Abidin yang ditonton di Internet sebelum mengambil keputusan menyertai pidato tersebut.

Peserta Jepun yang mempunyai nama Melayu itu memberitahu, beliau memilih pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai tema pidatonya kerana mahu berkongsi pengalaman Jepun dalam menguruskan masalah pencemaran.

“Pensyarah dan rakan-rakan saya di universiti memanggil saya Izati kerana kepetahan saya bertutur dalam bahasa Melayu selepas tiga tahun belajar menggunakan bahasa itu di Universiti Bahasa Asing Tokyo,” katanya.

“Jadi isu bahasa bukan masalah untuk saya menyampaikan hujah ketika berpidato, cuma cabarannya adalah saya perlu belajar menyanyi lagu Hijau supaya persembahan saya berbeza dengan peserta lain,” katanya.

Advertisements