TPM Dakwa Terdapat Gerakan Guling Kerajaan Libatkan Tokoh Umno

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Umno.

imageBeliau berkata rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada anggota Parlimen pembangkang, serta cuba menarik anggota Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

“Saya dapat mencium bau ada usaha yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu yang didalangi tokoh-tokoh tertentu juga. Satu usaha untuk mendapatkan statutory declaration (akuan bersumpah) dalam kalangan anggota Parlimen parti pembangkang dan juga cuba menarik anggota Parlimen BN (menyokong mereka) untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘pintu belakang’.

“Saya nyatakan perkara ini serius kerana saya mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang sangat-sangat boleh dipercayai dan usaha ini sedang berjalan, kononnya seluruh 87 anggota Parlimen pembangkang berserta seorang anggota Parlimen Bebas sedang berusaha mendapat sokongan anggota Parlimen BN untuk menyokong mereka,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang di sini, Sabtu.

Tanpa mendedahkan nama tokoh terlibat, Ahmad Zahid berkata peguam kumpulan terbabit dikatakan sedang menyediakan “memorandum tujuh muka surat kertas kuning berserta akuan bersumpah” untuk menyatakan kononnya mereka mendapat suara majoriti bagi mengulingkan kerajaan.

Beliau berkata rancangan mereka itu tidak akan dibenarkan berlaku.

“Perkara seserius ini adalah perkara yang akan membawa kepada gelojak politik nasional kerana mereka tidak sanggup mahu menunggu lama (sehingga diadakan) pilihan raya umum (PRU), mereka mahu masuk melalui pintu belakang,” katanya.

Untuk itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno mahu semua anggota Umno dan BN termasuk di peringkat akar umbi memandang serius rancangan itu, dan perlu kekal bersatu bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku.

“Kekuatan kita berdasarkan kepada ketaatsetiaan yang merupakan tonggak kepada kekuatan kepemimpinan.

“Bukan sahaja kita mendambakan kekuatan dan sokongan akar umbi dan bahagian (Umno) kepada presiden parti, tetapi anggota Parlimen BN, saya amat yakin, mereka tidak akan terjebak dan terperangkap dengan permainan pintu belakang yang akan dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh anggota Umno Selangor dan parti komponen BN negeri bekerjasama merancang strategi untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang dengan tumpuan pada kawasan Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa dan Ampang.

“Bangkitlah Umno Selangor. Lupakan titik bengik. Pemimpin harus turun ke bawah, jangan tebuk kapal yang dilanda badai, sebaliknya pegang layar, tali, sauh dan dayung bersama.

“Kita tidak mahu apabila kapal dilanggar, ahlinya tebuk kapal itu,” katanya sambil menambah anggota Umno negeri harus kembalikan kegemilangan Selangor sepertimana semasa di bawah BN.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dalam ucapannya mewakili 22 Bahagian Umno Selangor menyatakan taat setia kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya Ahmad Zahid.

“Semua anggota Umno harus bersatu-padu agar Umno terus mendapat sokongan rakyat. Umno Selangor berazam untuk berusaha keras menawan Selangor. Kita bukan susah untuk menang, cuma kena jaga kawasan masing-masing untuk mendapat balik Selangor,” katanya.

Advertisements