Exco Kelantan Bidas Kenyataan Husam Musa

SHAH ALAM, 26 Ogos – Kesemua lawatan exco Kelantan ke luar negara adalah atas urusan kerja dan tidak bersifat peribadi, demikian tegas Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

imageExco Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau tersebut membidas kritikan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang mempersoalkan ‘kemewahan’ pemimpin PAS Kelantan yang dikatakan sering membuat lawatan ke luar negara.

Che Abdullah menegaskan Husam perlu memahami keadaan itu sementelah beliau juga pernah berada dalam kepimpinan kerajaan negeri.

“Perlu tanya Husam sendiri apakah motifnya (berkata demikian) sebab saya tidak tahu. Beliau cukup tahu apa motifnya,” ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Selain membangkitkan isu kemewahan berkenaan, Husam ketika berucap di Majlis Penerangan dan Dialog Isu-isu Semasa PAS Kubang Kerian turut menggesa PAS Pusat memantau segala aktiviti kerajaan Kelantan agar tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

Beliau turut menyentuh apa yang berlaku di kalangan pemimpin PAS Kelantan itu dilihat bertentangan dengan garis panduan jimat-cermat yang ditetapkan oleh bekas Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Che Abdullah yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan memberitahu kali terakhir beliau ke luar negara adalah pada 25 September 2014, sekaligus menidakkan dakwaan Husam itu.

“Untuk mengatakan exco-exco sentiasa ke luar negara hingga menjadi buah mulut rakyat, kami tidak nampak sekarang ini banyak pergerakan untuk ke luar negara berbanding dahulu

“Rakan-rakan exco yang lain yang kena pergi ke luar negara adalah kerana terpaksa menjalankan tugas. Sebagai contoh Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi ) kena pergi ke Turki dua hari sebelum hari raya.

“Jika nak kira dari segi logik untuk pergi bercuti atau sebagainya, tidak ada sesiapa nak pergi bercuti ke luar negara beberapa hari sebelum raya sedangkan ia masa yang sibuk bersama keluarga dan rakyat,” katanya lagi.

Bukan sahaja isu kemewahan, Husam turut mendakwa keadaan pentadbiran kerajaan Kelantan menjadi buah mulut rakyat apabila berlakunya pengagihan kekayaan negeri kepada kroni tanpa tender.

Advertisements