17 Mahasiswa Berkampung Di Parlimen Direman 3 Hari

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Polis hari ini memperolehi perintah reman selama tiga hari terhadap 17 mahasiswa yang ditahan di luar bangunan Parlimen malam tadi kerana bertindak mengadakan protes menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

imageSemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang melarang segala aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen, dan mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012, kata presiden Peguam Malaysia Steven Thiru.

Steven yang juga merupakan pemerhati dalam kes ini berkata, polis pada awalnya meminta perintah reman selama 7 hari namun dibenarkan 3 hari oleh mahkamah.

Kesemua pelajar tersebut akan ditahan di lokap balai polis Jinjang bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan kira-kira jam 10.30 malam semalam selepas enggan untuk beredar walaupun diarahkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Semalam, kira-kira 50 anggota polis yang berada di tempat protes tersebut mengarahkan kumpulan mahasiswa yang berkampung dengan duduk dan bermalam di tepi jalan Parlimen itu untuk bersurai.

Kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka โ€œLangkah Siswaโ€ itu merupakan sebahagian daripada protes duduk #Occupy Parlimen yang diadakan sejak Isnin lalu, menggesa peletakan jawatan Najib.

Kumpulan pelajar tersebut yang duduk di situ secara bergilir-gilir berikrar tidak akan meninggalkan kawasan tersebut sehingga Najib meletakkan jawatan.

Advertisements