PDRM Tunggu Bekas Timbalan Pengarah SB Jawab Surat Tunjuk Sebab

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bukit Aman sedang menunggu maklum balas berdasarkan surat tunjuk sebab yang telah dikeluarkan kepada bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador.

imageTimbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepada Abdul Hamid pada Jumaat lalu.

“Dia (Abdul Hamid) diberikan tempoh dua minggu untuk dia jawab surat tunjuk sebab.

“Saya difahamkan dia sudah diberikan surat itu pada Jumaat lalu. Kita tunggu dia jawab surat itu balik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2014 di Bukit Aman, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan mengenai tindakan terhadap Abdul Hamid.

Bekas timbalan pengarah cawangan khas itu sebelum ini dilapor akan diberikan surat tunjuk sebab bagi memberi penjelasan berhubung tindakannya mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung pertukarannya baru-baru ini yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebagai pegawai polis, Abdul Hamid terikat dengan peraturan pasukan dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan sembarangan kepada media.

Katanya, surat tunjuk sebab itu bagi memberi peluang kepadanya sebelum keperluan tindakan disiplin dan tatatertib dikenakan.

Advertisements