Maklumat Bocor: Pinda Akta Rahsia Rasmi 1972

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Akta Rahsia Rasmi 1972 yang kali terakhir dipinda pada 28 tahun lepas perlu ditambah baik bagi membendung masalah kebocoran maklumat sulit dan rahsia kerajaan, kata seorang ahli akademik.

imageFello Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, sudah tiba masanya akta itu dipinda semula dengan memperkasakan lagi undang-undang selaras dengan perkembangan semasa, sekali gus mengatasi kelemahan yang ada pada akta berkenaan.

Justeru, beliau mencadangkan supaya akta berkenaan ditambah baik dengan pengkelasan yang lebih jitu mengenai suspek serta pembahagian kesalahan bagi membolehkan pendakwaan dijalankan.

“Kita tambah pengkelasan atau menambah baik lagi pengkelasan terhadap penjenayah atau suspek sama ada mereka tergolong daripada kalangan penjawat awam atau bekas penjawat awam atau orang awam.

Dari segi pembahagian kesalahan, adakah kebocoran itu berlaku kepada maklumat-maklumat rahsia besar atau rahsia sulit atau yang terhad sahaja, ini memudahkan kita mengenal pasti tahap kesalahan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Institut Integriti Malaysia di sini, hari ini.

Shamrahayu merupakan seorang anggota panel dalam sesi perbincangan meja bulat bertajuk ‘Strategi dan Pendekatan bagi Mempertingkatkan Integriti Kerahsiaan dan Keselamatan Dokumen Milik Kerajaan dari Sebarang Kebocoran’.

Turut menjadi panel pada sesi itu, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Nik Azlan Abas dan Timbalan Pengarah (Produksi) Lembaga Peperiksaan Malaysia Kamaruddin Jazuli.

Selain itu, Shamrahayu berkata, satu kajian mengenai hukuman juga perlu diadakan bagi memberi impak yang besar kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya membocorkan maklumat dan rahsia kerajaan.

“Kita memerlukan undang-undang yang menghukum bukan sahaja undang-undang seperti kaunseling dan sebagainya kerana kesalahan kebocoran maklumat memberi kesan yang sangat besar kepada negara,” katanya.

Beliau juga menyarankan penjawat awam dan orang ramai diberikan pendedahan semangat patriotisme dan jati diri serta integriti supaya mereka lebih mengambil berat mengenai keselamatan negara.

Katanya, soal keselamatan negara merupakan tanggungjawab semua warganegara termasuk penjawat awam dan orang awam.