“Saya Tak Sesuai Jadi Presiden FAM” – TMJ

PETALING JAYA, 12 Sept – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan beliau tidak sesuai menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana akan bersikap “berat sebelah” sekiranya berdepan isu berkaitan Johor.

image

“Bukan seperti sesetengah orang, saya tidak sesuai menjadi Presiden FAM. Ianya adalah kerana satu sebab, saya cintakan Johor, dan saya tentu sekali akan berat sebelah sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan Johor.

“Oleh kerana konflik kepentingan sedemikian, saya bukanlah calon yang sesuai untuk menyandang jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Tunku Ismail berkata, sekiranya beliau berada di sana, beliau berharap mereka boleh meminda perlembagaan FAM.

“Anda perlu faham bahawa mereka yang berada dalam FAM diundi oleh ahli-ahli lain. Kebanyakan daripada mereka berada di sana demi sebab-sebab tertentu, dan bukannya untuk memartabatkan bola sepak.

“Macam mana saya hendak bekerja dalam keadaan begitu? Di Johor, contohnya, saya mempunyai kawalan sepenuhnya dari peringkat tertinggi sehingga bawahan. Di FAM, saya mungkin duduk semeja dengan mereka yang tidak boleh bekerjasama, dan saya tidak boleh menggugurkan mereka kerana mereka dipilih melalui undian.

“Seluruh negara tahu saya selalu berterus terang. Saya lebih suka berterus terang daripada cuba untuk berdiplomasi. Saya lebih cenderung sekiranya orang yang menguruskan FAM itu adil, neutral dan tidak pilih kasih kepada mana-mana pasukan tertentu, dan yang penting sekali, dia hendaklah bersih dan tidak korup,” tegasnya.

Mengenai insiden yang berlaku di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu, Tunku Ismail menegaskan beliau memahami ketidakpuasan hati penyokong.

“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa FAM yang telah mencemarkan imej negara selama 31 tahun, sejak di bawah pentadbiran presiden yang sebelumnya lagi.

“Walaupun saya tidak bersetuju dengan tindakan penyokong tetapi saya faham ketidakpuasan hati mereka kerana badan induk pentadbir bola sepak negara tidak serius dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata masalah utama FAM adalah ianya ditadbir oleh mereka yang tidak berpengetahuan berkenaan bola sepak, dan hanya memegang jawatan untuk kepentingan peribadi.

Pada Selasa lalu, penyokong skuad negara bertindak liar dengan membaling bom asap, bunga api dan suar ke arah padang apabila Arab Saudi mendahului Malaysia 2-1.

Akibatnya permainan dihentikan pada minit ke-88 selama 30 minit oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong.

Tindakan tersebut dikatakan sebagai protes selepas pasukan negara tewas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu sekaligus  mahu memberi tekanan kepada FAM.

Advertisements