Pendekatan ‘Siku dan Lutut’ PAS Tidak Lagi Relevan – Khalid Samad

SHAH ALAM, 15 Sept – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menolak dakwaan kononnya penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) oleh bekas pemimpin progresif PAS didorong oleh perasaan tamak dan inginkan kuasa, sebaliknya lebih menjurus kepada penolakan pendekatan ‘siku dan lutut’ yang tidak lagi relevan ketika ini.

imageJelas beliau, Amanah ditubuhkan selepas kumpulan berkenaan yakin bahawa PAS bukan lagi platform yang sesuai untuk mengangkat martabat Islam.

“Bukan soal jawatan, perasaan marah atau kecewa. Tapi persoalannya adalah bagaimana nak bawa idea dan proses untuk mengetengahkan idea itu.

“Apa yang kami usahakan sejak tahun 80an atau 90an iaitu nak bawa PAS daripada politik terpinggir dan masuk ke politik arus perdana dimusnahkan. Sekarang ini seolah-olah kepimpinan baharu nak bawa PAS balik ke era politik terpinggir,” katanya baru-baru ini.

Kumpulan bekas pemimpin PAS yang disingkirkan pada pemilihan parti itu Jun lalu bertindak mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia untuk dijenamakan semula dan ditukar namanya kepada Parti Amanah Negara.

Ketika ini, Amanah diketuai Pengerusi penaja, Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS.

Tambah Khalid, sikap kepimpinan PAS yang mahu menjadi parti dominan ketika bersama Pakatan Rakyat merupakan punca perpecahan sama ada dalam parti Islam itu sendiri mahupun di kalangan komponen pembangkang.

Katanya, pendekatan ‘siku dan lutut’ serta politik agresif yang mahu diketengahkan pimpinan PAS terhadap pihak luar daripada parti itu tidak boleh diterima.

“PAS seolah-olah menuntut dominasi dalam Pakatan Rakyat. Ramai keluar bukan kerana menolak dasar yang diperjuangkan PAS, tetapi kerana pendekatan yang ingin digunapakai sekarang ini berbeza dengan sebelum ini.

“Golongan yang berpandangan lebih inklusif, mahukan pendekatan yang berpakat dengan DAP dan PKR disingkirkan. Bila ini berlaku, perbezaan pandangan tidak lagi dirai dalam PAS.

“Akhirnya kita kena buat parti baharu supaya pendekatan yang kita nak bawa dapat kita laksanakan dan zahirkan,” katanya yang turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa penaja Amanah.

Jelas Khalid, beliau kecewa apabila PAS gagal mengangkat martabat Islam melalui kaedah politik yang baik.

“Apa yang akan berlaku sekarang ialah perjuangan PAS dan politik Islam akan semakin terpinggir, menjadi ekstrem dan shadid atau keras pendiriannya.

“Ia akan merugikan kedudukan umat dan agama Islam itu sendiri. Orang akan melihat bahawa Islam tak mampu untuk tangani suasana dan realiti masyarakat yang wujud di Malaysia dengan cara bijaksana.

“Mereka kembali dengan cara pendekatan ‘siku dan lutut’. Politik Islam akan mendapat imej yang buruk,” katanya.

Sebelum ini Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-61 memberi amaran kepada rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, agar jangan mencabar kesabaran mereka.

Kata Nasruddin, walaupun berjubah dan berserban, mereka memiliki siku dan lutut sebagai sindiran kononnya kumpulan itu tetap bersemangat tinggi dan berani.

Ekoran itu, siku dan lutut menjadi viral dalam media sosial bahkan menjadi ‘trending’ dan dipermainkan dalam majlis forum dan diskusi mengenai politik.