Sanjeevan Dakwa Terima Ancaman Bunuh Daripada ‘VIP’ Tak Dikenali

PETALING JAYA, 2 Okt – Selepas terselamat daripada cubaan bunuh dua tahun lalu, Pengerusi MyWatch, Datuk R. Sri Sanjeevan mendakwa menerima ugutan bunuh sekali lagi, kali ini daripada seorang ‘VIP’ yang tidak dikenali.

imageDalam beberapa siri kenyataan di akaun Twitter miliknya, Sanjeevan menulis bahawa beliau telah membuat laporan polis mengenai individu berkenaan.

“Satu laporan polis telah dibuat terhadap ‘VIP’ yang mengancam untuk membunuh saya. Sekiranya terjadi kepada saya atau keluarga saya, dia perlu bertanggungjawab sepenuhnya!” katanya yang turut ‘tag’ akaun Twitter rasmi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Terdahulu, Sanjeevan membuat kenyataan di Twitter: “Sekali lagi saya diugut akan ditembak oleh seorang individu dan saya telah membuat laporan @PDRMsia. Saya dan keluarga saya diancam lagi,” katanya.

Menjawab kepada pertanyaan seorang pengikutnya di Twitter mengenai sebab individu berkenaan mengeluarkan ancaman tersebut, Sanjeevan berkata: “Mungkin suspek itu sakit jiwa.”

Pada Julai 2013, Sanjeevan ditembak di bahagian dada oleh seorang pembonceng motosikal di Seremban.

Beliau dikatakan ditembak berhubung semua kenyataannya terhadap polis dan pembabitannya dengan beberapa penjenayah yang menjadi pemberi maklumat kepadanya.

Advertisements