Tun M Minta Pengundi Pekan Jangan Undi Najib Razak

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Selepas beberapa kali memberi tekanan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini berkongsi strategi bagi memastikan matlamatnya itu menjadi kenyataan.

imageTegas Dr Mahathir, matlamat untuk menggulingkan Najib hanya akan berjaya jika ia dimulakan di peringkat kerusi Parlimen Pekan yang diwakili perdana menteri itu.

“Walaupun dia tak mahu undur, kalau datang pilihan raya, jangan undi. Di (Parlimen) Pekan jangan undi (Najib). Bagi kalah Najib, tapi jangan bagi kalah Umno.

“Kalau orang Melayu bijak, tentukan Najib kalah di Pekan. Kalau kita berpakat sesama kita, pergi ke Pekan beritahu kepada orang sana bagi dia kalah tapi, bagi Umno menang.

“Kita jangan terbawa dengan emosi, kena rancang dengan strategi dan strategi kita ialah untuk mengalahkan Najib,” katanya.

Beliau berucap ketika menghadiir Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk ‘Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa’ anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.

Selaian itu, Dr Mahathir menggesa supaya orang Melayu mencontohi masyarakat Cina yang meletakkan kepentingan bangsa mereka mendahului parti dan fahaman politik.

“Kita orang Melayu tak berapa bijak. Kita patuh dengan tidak memikir tentang kepentingan kita.

“Saya lihat orang Cina walaupun dia MCA atau DAP, tapi kalau kepentingan Cina terancam, mereka lupakan parti mereka.

“Tapi orang Melayu tak begitu. Inilah yang menjadi masalah. Sekarang ini ramai dah keluar daripada Umno walaupun tak secara rasmi, tapi mereka tak menyokong Umno.

“Kalau mereka mengalahkan Umno, kita akan rugi. Yang nak dikalahkan hanya Najib sahaja. Umno tak salah,” katanya.

Berucap pada majlis sama, Dr Mahathir mengakui beliau sememangnya berniat untuk menghasut supaya Najib meletak jawatan.

“Saya datang memang nak hasut semua orang.

“Dalam perjuangan perlu ambil risiko, kalau tak berani macam mana nak berubah, macam mana nak tebus maruah kita,” katanya.