Ling Liong Sik Diberi Tujuh Hari Untuk Mohon Maaf

PUTRAJAYA, 6 Okt – Bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik diberi tempoh tujuh hari untuk memohon maaf atas kenyataannya dalam artikel ‘MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket” yang disiarkan oleh Malay Mail online pada 3 Oktober lalu.

imageTuntutan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan ia satu fitnah dan telah merosakkan reputasinya.

Tuntutan berkenaan dibuat menerusi peguam beliau, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.Difahamkan ia diserahkan kepada Liong Sik Isnin.

Jika gagal berbuat demikian tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Dalam surat tuntutan berkenaan , peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata kenyataan Liong Sik yang juga bekas Menteri Pengangkutan itu sekali gus membawa maksud bahawa anak guamnya telah menyalahguna dana pelaburan kerajaan ke dalam akaun peribadi beliau untuk kepentingan sendiri.

“Kenyataan itu juga membawa maksud bahawa pelanggan kami menyalahguna amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi syarikat pelaburan negara (1MDB) dan sebagai pemimpin negara.

“Ia juga membawa maksud bahawa pelanggan kami tidak cekap, terlibat dalam skandal kewangan untuk menipu rakyat Malaysia dan tidak layak menjadi pengerusi Barisan Nasional (BN) yang mengandungi 13 parti politik termasuk MCA,” kata peguam tersebut.

Menurut Hafarizam pihaknya telah diarahkan oleh anak guamnya untuk mengambil tindakan dan menuntut penarikan balik kenyataan, permohonan maaf tidak berbelah bagi dan pampasan yang munasabah terhadap apa yang dinyatakan di atas kenyataan fitnah itu.

Advertisements