Kronologi Siasatan SPRM Ke Atas 1MDB

PetroSaudi International menafikan sebuah laporan yang mendakwa kesemua wang yang diperuntukkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan kepada syarikat itu.
imageDipercayai PetroSaudi – sebuah syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi – merujuk kepada artikel yang disiarkan Sarawak Report berjudul “Heist of the Century — How Jho Low Used PetroSaudi As ‘A Front’ To Siphon Billions Out Of 1MDB!” pada 28 Februari.

6 Mac
Sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Pasukan tersebut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

3 Julai
The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

4 Julai
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak berkuasa pada 3 Julai menyiasat pejabat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri dan memperoleh sejumlah dokumen yang berkaitan.

Serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd  itu dilakukan oleh sebuah kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang turut dianggotai oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Abdul Gani juga mengesahkan bahawa pasukan khas itu telah memulakan siasatan berhubung isu 1MDB dan menyerahkan kepada beliau beberapa dokumen untuk disemak termasuk dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri.

28 Julai
Perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai 2015 atas sebab-sebab kesihatan, menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam satu kenyataan, Dr Ali berkata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

29 Julai
Lima panel bebas yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat satu kenyataan bersama, mahu Pasukan Petugas Khas yang menjalankan siasatan berhubung isu 1MDB diberikan ruang menjalankan siasatan tanpa rasa gentar atau takut dengan campur tangan pihak berkepentingan.

Mereka menggesa agar integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas, perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali,

Pengerusi lima panel bebas ini terdiri daripada Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah).

30 Julai
SPRM menafikan pegawai kanannya terbabit dengan konspirasi menjatuhkan kerajaan.

Suruhanjaya itu berkata tindakan yang diambil oleh pegawainya adalah jelas bagi menjalankan tugas mereka sebagai pegawai SPRM.

1 Ogos
Polis menahan tiga individu bagi siasatan berhubung skandal rasuah 1MDB. Salah seorang daripadanya adalah lelaki berpangkat Tan Sri yang juga bekas penasihat SPRM, seorang pegawai yang berkhidmat di Pejabat Peguam Negara, dan orang ketiga adalah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Polis menyerbu pejabat Ahmad Sazilee dan merampas sejumlah dokumen berkaitan 1MDB serta komputer riba.

3 Ogos
Dalam satu kenyataan media, SPRM memaklumkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin yakin, kebocoran dokumen mengenai siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti milik 1MDB tidak melibatkan pihaknya.

Beliau percaya, dokumen yang dibocorkan itu diterbitkan semula pihak tertentu.

4 Ogos
Kira-kira 100 kakitangan SPRM menyertai solat hajat anjuran suruhanjaya itu di bangunan pentadbiran SPRM Putrajaya.

Majlis Solat Hajat Perdana SPRM dibuat bagi memohon supaya institusi itu diberi kekuatan untuk terus kukuh dalam menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Selain di Putrajaya, beberapa cawangan SPRM negeri turut bersama menganjurkan solat hajat.

5 Ogos
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed disahkan bercuti sehingga minggu hadapan.

Pada sebelah petang,  SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan berjumlah RM 2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaunnya.

SPRM  juga mendedahkan bahawa penderma dana berkenaan berasal dari Timur Tengah, tetapi tidak memberikan identiti penderma.

Dalam satu kenyataan media, SPRM menjelaskan mengapa ia membuat kenyataan media pada 3 Ogos tanpa penglibatan Pasukan Petugas Khas.

Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa ia telah dinasihatkan oleh Peguam Negara, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.

Ini kerana, empat agensi berkenaan akan mengadakan siasatan secara berasingan dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara.

Isu SRC International melibatkan dana RM4 bilion juga masih dalam siasatan agensi berkenaan dan ia adalah siasatan berasingan dengan dana RM2.6 bilion.

Dalam pada itu, dua pegawai SPRM yang pernah dipanggil polis sebelum ini ditahan selepas memberi keterangan di IPD Putrajaya.

Kedua-duanya dibawa ke ibu pejabat SPRM untuk proses geledah maklumat oleh polis.

7 Ogos
Dua pegawai kanan SPRM dipindahkan keluar daripada mengendalikan kes berprofil tinggi.

Sumber memberitahu, Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rozaid Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).