1MDB Kesal Dengan Kenyataan Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai syarikat sarat hutang adalah mengelirukan, kata 1MDB.

imageDalam kenyataan di sini hari ini, syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu berkata Muhyiddin sebagai bekas anggota Kabinet ‘memang tahu bahawa nilai aset 1MDB melebihi hutangnya.’

“Sebagai anggota Kabinet ketika 1MDB ditubuhkan, Muhyiddin amat sedar struktur modal 1MDB. Dengan RM1 juta dalam bentuk ekuiti yang disediakan oleh pemegang saham iaitu Kementerian Kewangan, 1MDB menjana modal di pasaran yang merupakan hutang kepada akaun syarikat,” katanya.

Walaupun syarikat itu memberi penjelasan berulang kali namun ia kesal dengan tindakan beberapa ahli politik dan bekas ahli politik mencanang maklumat separuh benar mengenai syarikat itu.

“Ia kini jelas bahawa ini merupakan sebahagian daripada serangan sengaja dan bermotifkan politik untuk mensabotaj bukan sahaja rancangan tawaran awam permulaan (IPO) dalam bidang jana kuasa sebelum ini tetapi juga pelaksanaan pelan rasionalisasi yang sedang berjalan sekarang,” katanya.

Ia berkata bahawa banyak perniagaan di Malaysia dan di luar negara telah menggunakan hutang untuk membina dasar aset mereka dengan berjaya.

Dalam kes 1MDB, ia berkata daripada jumlah ekuiti RM1 juta, jumlah ekuiti pemegang saham berkumpulan sebanyak RM1.7 bilion telah dijana setakat 31 Mac 2014.

“Walau apa pun cabaran semasa dan berikutnya, yang didokumenkan dan perakui dengan baik, 1MDB tetap yakin untuk menjana lebihan nilai ketika melangkah maju dalam pelan rasionalisasi,” katanya.