1MDB Hormat Kuasa Bank Negara Batal Kebenaran

PETALING JAYA, 10 Okt – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengakui dan menghormati kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membatalkan kebenaran dan mengeluarkan apa-apa arahan yang difikirkannya patut di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

imageDalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Jumaat, ia berkata, walaupun Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa pegawai-pegawai 1MDB tidak melakukan sebarang salah laku, cabang pelaburan kerajaan itu akan terus bekerjasama dan melibatkan diri dengan BNM.

Ini adalah sebagai respons kepada kenyataan BNM bahawa bank pusat itu telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan luar negara bernilai AS$1.83 bilion (RM7.58 bilion).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, BNM berkata, kebenaran telah dibatalkan kerana pelaburan diperoleh berdasarkan pendedahan maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap.

“Selain mengemukakan jawapan bertulis dan berkongsi dokumen-dokumen berkaitan, ahli lembaga pengarah 1MDB, kakitangan dan bekas kakitangan telah ditemuramah oleh Bank Negara, dengan kenyataan saksi secara terperinci direkodkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara, sebagai pihak berkuasa yang sah untuk perkara seperti ini, memutuskan bahawa ‘tiada kesalahan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB’ dan mengarahkan bahawa ‘tiada tindakan lanjut perlu diambil’, “tegas 1MDB.

“Bank Negara telah mengeluarkan arahan untuk 1MDB untuk menghantar balik sejumlah AS$1.83bilion. Ini berkaitan dengan kebenaran bersejarah tertentu yang diberikan oleh Bank Negara di antara tahun 2009 dan 2011 untuk 1MDB membuat pelaburan di luar negara. “

1MDB menekankan bahawa kebenaran tersebut, apabila diberikan, tidak ada keperluan untuk dana itu dihantar pulang.

“Di samping itu, penggunaan dana tersebut telah diterangkan secara terperinci dalam nota-nota penyata kewangan yang telah diumumkan 1MDB bertarikh 31.03.2009 hingga 31.03.2014,” katanya.

Advertisements