Kes Culik Kanak-kanak: “Tolong Bersihkan Nama Saya” – Pemandu Teksi

KAJANG, 16 Okt – Pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi berkata, penahanannya kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes penculikan budak lelaki berusia lima tahun di sini memalukan keluarganya.

image“Anak-anak saya malu atas apa yang berlaku. Tolong, tolong bersihkan nama saya,” rayunya kepada pegawai polis apabila dia dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dibebaskan selepas ditahan seminggu untuk siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Saya hanya seorang pemandu teksi, saya tidak lakukan apa-apa,” katanya yang mengenakan baju biru dan seluar jeans dan kelihatan keletihan.

Hanizan ditahan bersama tiga lelaki lain dalam tempoh 24 jam susulan penculikan budak lelaki berkenaan di hadapan tadika di Sungai Chua yang dirakam menerusi CCTV.

Penculik berkenaan didakwa menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.

Selepas lapan jam diculik, Hanizan dilihat membawa kanak-kanak itu ke kediamannya pada pukul 5.35 malam dan menyerahkannya kepada keluarganya.

Pemandu teksi itu mendakwa menemui kanak-kanak itu yang bersendirian di tepi jalan dan mengecamnya selepas gambarnya menjadi viral menerusi media sosial.

Bagaimanapun, pemandu teksi itu enggan memaklumkan bagaimana dan dimana beliau menemui mangsa culik itu.

Hampir seminggu ditahan dan polis dengan rasminya mengesahkan beliau tidak terlibat dalam kes penculikan itu, Hanizan dibebaskan mengikut Seksyen 49, Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, tiga lagi yang ditahan didakwa di mahkamah pagi Jumaat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.

Advertisements