Tengku Razaleigh Nafi Akan Sokong Undi Tak Percaya Terhadap Najib Razak

KUALA LUMPUR, 19 Okr – Veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan bahawa beliau akan menyokong usul undi tidak percaya yang dikemukakan terhadap Perdana Menteri.

imageKetika ditanya mengenai perkara itu di lobi Parlimen pada Isnin, Tengku Razaleigh berkata beliau tiada kaitan dengan sekumpulan MP Barisan Nasional (BN) yang didakwa cuba menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

“Saya tiada kaitan dengan perkara itu. Saya tidak ada mata-mata dalam kumpulan itu, jadi bagaimana saya tahu apa yang mereka bincangkan?

“Marilah kita lihat apa yang mereka sedang rancang untuk lakukan. Saya yakin mereka ada idea sendiri. Namun, setakat apa yang saya tahu, saya tiada kaitan dengannya,” kata beliau.

Tengku Razaleigh turut berkata peluang usul undi tidak percaya itu untuk dikemukakan di Dewan Rakyat sangat tipis, melihat kepada fokus kini lebih tertumpu kepada perkara lain seperti Bajet 2016.

Ditanya mengenai harapan beliau terhadap Bajet 2016, Tengku Razaleigh berkata: “Ia sukar untuk diperkatakan. Kita tunggu sehingga 23 Oktober ini.”