Pemimpin Pembangkang Dicabar Letak Jawatan Parti Jika Undi Tak Percaya Gagal

PETALING JAYA, 22 Okt – Pemimpin pembangkang dicabar untuk meletakkan jawatan dalam parti sekiranya cubaan mereka untuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak berundur menerusi undi tidak percaya, gagal.

imageMenteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menerusi akaun rasmi Twitternya menggesa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng supaya mengambil penuh tanggungjawab dan meletakkan jawatan sekiranya undi tidak percaya, tidak berjaya.

“Jika undi tidak percaya berjaya, PM akan meletakkan jawatan. Jika tidak berjaya, WA (Dr Wan Azizah), LGE (Lim Guan Eng) dan LKS (Lim Kit Siang) mesti mengambil penuh tanggungjawab dan meletakkan jawatan dalam parti mereka.

“Jika WA, LGCE & LKS mempunyai kehormatan, mereka akan meletakkan jawatan sekiranya undi tidak percaya gagal. Ia menunjukkan mereka tidak boleh mendapat kepercayaan sebagai ahli parlimen pembangkang,” kata Abdul Rahman di Twitternya pada Khamis.

Beliau menambah, pemimpin pembangkang tidak perlu hanya mencadangkan undi tidak percaya dan berpura-pura bahawa reputasi mereka tidak terjejas sekiranya undi berkenaan tidak berjaya.

“Saya menggesa pemimpin pembangkang untuk mengambil cabaran ini. Berundur dari jawatan politik mereka sekiranya undi tidak percaya gagal. Persoalannya adakah mereka berani?”

Pada Selasa lalu, Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah berkata, beliau akan meneruskan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun hasrat untuk ia dibentangkan pada persidangan kali ini adalah tipis.

Dr Wan Azizah berkata, beliau dan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya dan memutuskan untuk memfailkan usul itu.

Pandikar memberitahu pihak pembangkang untuk mengemukakan senarai ahli Parlimen yang menyokong usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun beliau berkata, usul itu tidak dapat dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

Tambah Pandikar, usul tersebut perlu dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat yang memerlukan ia dilakukan 14 hari sebelum bermulanya prosiding Parlimen.