Bajet 2016 Bukan Belanjawan ‘Robin Hood’ – Irwan Serigar

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Bajet 2016 tidak harus dirujuk sebagai belanjawan ‘Robin Hood’ berikutan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar cukai 20 peratus kumpulan berpendapatan tinggi yang hanya mewakili jumlah kecil, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar.

imageRobin Hood merujuk karakter wira di England pada zaman dahulu yang merompak golongan kaya bagi membantu penduduk miskin.

Malah, tegas Mohd Irwan, cadangan yang membabitkan kutipan hasil kira-kira RM400 juta itu hanya membabitkan 17,000 orang daripada keseluruhan dua juta pembayar cukai.

“Langkah itu juga tidak akan menghalang pelaburan asing kerana ia turut diamalkan di negara lain serta turut disarankan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai usaha baik bagi negara yang mahu mencapai ekonomi lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada dialog pascabajet anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini, Sabtu.

Dalam pembentangan Bajet 2016 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan cadangan lingkungan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara RM600,000 dan RM1 juta.

Ia antara lain bertujuan memperkukuh struktur cukai untuk menjadi lebih kompetitif dan progresif.

Bagi mereka berpendapatan melebihi RM1 juta, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.

Jelas Mohd Irwan, pihaknya juga telah mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum mengemukakan cadangan itu.

“Kita berasakan ia akan mewujudkan keseimbangan kerana kelompok 20 peratus berkenaan akan turut menikmati insentif lain seperti elaun pelaburan semula, peruntukan ekonomi yang diberikan kepada pembangunan infrastruktur serta manfaat sektor perbankan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan bajet berkenaan sebagai asasnya, adalah baik kerana mengetengahkan pendekatan seimbang antara modal serta ekonomi rakyat.

“Menerusi bajet ini, kerajaan turut mengambil kira kepentingan kumpulan pertengahan seperti yang didakwa ramai sering abaikan pada bajet terdahulu. Pada masa sama, bajet ini turut menitikberatkan kepentingan kelompok B40,” katanya.

Terdahulu pada dialog itu, Pengerusi Taxand Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh, menyifatkan cadangan menaikkan cukai bagi kelompok atasan itu tidak sealiran dengan trend global dan boleh memberi mesej berbeza atau mencetuskan isu.

“Kita perlu berhati-hati kerana kita belum pun setaraf dengan negara-negara maju. Saya cadangkan kerajaan mungkin boleh menimbang cadangan itu bagi tempoh percubaan iaitu untuk dua atau tiga tahun sahaja,” katanya.

Ketua Pakar Ekonomi Asean Bank of America Merrill Lynch, Dr Chua Hak Bin pula menyuarakan kebimbangannya bahawa cadangan itu boleh menghalang hasrat tenaga asing untuk datang ke Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Negara Bank Dunia, Faris Hadad pula menyifatkan Bajet 2016 sebagai bijak dan diwujudkan bagi menangani situasi semasa serta mengekalkan pertumbuhan.