Ahli UMNO Boleh Disiasat Walaupun Tanpa Aduan

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Anggota Umno boleh disiasat bagi sebarang kesalahan disiplin walaupun tanpa aduan dibuat mengenainya, dan Perlembagaan parti mempunyai peruntukan yang jelas untuk mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didapati melanggar peraturan parti.

imageSetiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, anggota yang membuat kenyataan terbuka di media sehingga menjejaskan parti, boleh disiasat dan dibawa kepada Lembaga Disiplin.

“Anggota terbabit dirujuk kepada Lembaga Disiplin Umno untuk siasatan dan tindakan akan diputuskan apabila anggota lembaga itu bersidang,” katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Menurutnya berdasarkan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno, semua anggota parti hendaklah cintakan parti dan (a) Patuh kepada Perlembagaan parti dan tataetika anggota; (b) Mengikut perintah-perintah parti; (c) Menjalankan dasar-dasar parti; (d) Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti; (e) Menjaga rahsia-rahsia parti; (f) Memelihara nama baik dan maruah parti; (g) Senantiasa menunjukkan tata laku yang sopan lagi tertib.

Fasal 20.9 pula menyatakan mana-mana anggota yang melanggar peruntukan Perlembagaan atau tata etika anggota Umno, boleh dikenakan hukuman iaitu diberi amaran; digantung hak-haknya dalam parti serta dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam pilihan raya negeri atau umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi parti.

Menurut Perlembagaan parti, anggota terbabit juga boleh dipecat daripada parti dan dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras perlembagaan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tujuh pemimpin Umno sedang disiasat berhubung kenyataan terbuka mereka yang boleh menjejaskan parti dan mungkin berdepan tindakan digantung parti dan digugurkan daripada jawatan.

Beberapa pemimpin Umno dilaporkan menyertai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengeluarkan kenyataan mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno.

Mereka termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara  Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kestabilan Umno akan terganggu gugat selain wujudnya kekeliruan dalam kalangan anggota jika mereka yang melanggar peraturan tidak dikenakan tindakan disiplin.

“Jika tiada sebarang tindakan diambil, ini akan menyerlahkan bahawa walaupun wujud peraturan di dalam Umno, namun ia tidak digunakan khususnya terhadap individu-individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata, Umno perlu segera dan lebih berani membuat keputusan bagi mengurangkan persepsi negatif terhadap parti itu.

Bagaimanapun, Ahmad Marthada menegaskan sebarang tindakan haruslah dilakukan secara teliti dan konsensus melalui mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Mereka yang berdepan tindakan disiplin juga perlu diberikan peluang membela diri dan berhujah atas nama keadilan.

“MT boleh mendengar hujah secara langsung dan terpulanglah kepada anggota MT untuk mencadangkan sebarang tindakan kepada Lembaga Disiplin.

“Ini pernah dilakukan oleh bekas presiden parti Dr Mahathir semasa beliau memanggil timbalannya (ketika itu) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi penjelasan,” katanya.

Advertisements