PAC Beri ‘Lampu Hijau’ Kepada Arul Kanda Untuk Berdebat

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi ‘lampu hijau’ kepada Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat berhubung isu membabitkan syarikat pelaburan kerajaan itu.
imagePengerusinya, Datuk Hasan Arifin bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk menyahut cabaran berkenaan.

“Arul telah bersetuju untuk menerima cabaran itu (debat) tanpa syarat. Jadi terpulang kepada Tony untuk mengambil keputusan sama ada mahu berdebat atau tidak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

Ditanya berhubung kewajaran Pua yang juga ahli PAC berdebat dengan Arul berhubung isu 1MDB, Hasan bagaimanapun mengelak untuk mengulas.

“Terpulang kepada Tony. Itu sahaja kenyataan saya,” katanya.

Sabtu lalu, Arul menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dengan Pua secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa sebarang syarat.

Menurut Arul, Pua tidak perlu meletak jawatan sebagai anggota PAC bagi memastikan debat berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.