PKR Gesa Azmin Ali Pecat Wakil PAS Dalam Kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu mendengar gesaan DAP supaya wakil rakyat PAS dipecat daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

imagePemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul berkata, Azmin seharusnya melihat gesaan berkenaan secara serius dan menyeluruh.

“Menteri besar kena dengar. Sudah tentu ada latar belakangnya dan mengapa perwakilan DAP berkenaan menyuarakan begitu. Adakah ianya secara kelompok ataupun dia melihat secara dasar…secara total.

“Saya rasa ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan tapi sudah tentu kita kena dengar. Mungkin ada meritnya. Namun begitu, sebagai pemimpin yang berjiwa besar, kita harus dengar,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong yang menggesa supaya pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Azmin untuk memecat wakil rakyat PAS daripada pentadbirannya.

Chiong memberi kata dua bahawa DAP akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu jika permintaan mereka tidak dilayan.