Lima Peneraju Jawab Pelbagai Soalan Semasa

RAKYAT Malaysia berasa bimbang dengan keadaan ekonomi negara sekarang. Ringgit sedang menjunam, kos kehidupan sedang meningkat dan kita dimaklumkan yang GST adalah baik untuk negara walaupun ia dilihat sebagai polisi yang tidak popular.

image

Adakah segala-galanya berada dalam keadaan yang baik? Apakah yang para pemimpin kita maksudkan apabila mereka berkata asas ekonomi kita kukuh? Apakah ahli politik kita sendiri faham apa yang mereka perkatakan?

Atau adakah benar Malaysia sedang menuju ke arah kebankrapan? Dan dengan sentimen pasaran yang lemah bolehkah kita mencapai tahap negara maju sebagaimana yang diinginkan menjelang 2020.

WONG CHUN WAI telah mengirimkan soalan-soalan ini menerusi emel kepada beberapa orang peneraju utama negara dengan bertanyakan soalan mudah yang kini menganggu fikiran rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Idris Jala menjawab segala persoalan itu.

TENTANG EKONOMI MAKRO:

Perit Tetapi Pembaharuan Yang Berguna…

RAKYAT berasa bimbang dan khuatir. Sesetengahnya merasakan yang mereka tidak mendapat gambaran yang penuh tentang ekonomi negara. Apakah benar Malaysia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi atau sedang menuju ke arah itu.

PM: Tidak, kita tidak berada dalam situasi krisis ekonomi. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang tegas dan sukar untuk melaksanakan reformasi ekonomi, sekaligus membuka laluan kepada negara untuk menangani apa jua situasi ekonomi global yang lembab sekarang.

Defisit fiskal negara kita secara konsistennya berjaya dikurangkan tahun demi tahun sejak program ETP dilancarkan pada 2010.

Situasi ini sebenarnya akan menjadi lebih teruk jika reformasi ekonomi hanya baru dimulakan sekarang. Negara kini berada pada situasi yang lebih kukuh dan baik jika dibandingkan dengan krisis kewangan pada 1997.

Kita juga telah belajar daripada episod itu. Ketika ETP dilaksanakan kedudukan defisit fiskal berada pada paras 6.4%, tetapi menjelang akhir tahun ini, defisit itu dijangkakan berada pada paras 3.2%.

Malah jika sekalipun situasi dan polisi yang kita laksanakan ini tidak begitu popular dan memeritkan, lambat laun rakyat akan menyedari bahawa reformasi ekonomi yang kita lakukan ini telah memberikan kita kedudukan yang kukuh untuk berhadapan dengan situasi tidak menentu ini.

Bayangkan jika defisit hari ini masih berada pada paras 6.4%, opsyen kepada polisi kita akan berada dalam keadaan yang sangat terhad dan kita berada dalam situasi yang tenat.

Dari semasa ke semasa kita sentiasa mendengar pemimpin kita berkata yang semuanya berada dalam keadaan yang baik dan terkawal.

Apakah yang mereka maksudkan dengan kata-kata “asas yang kukuh”. Yang jelas ialah tidak semuanya berada dalam keadaan yang baik-baik saja.

PM: Pertumbuhan KDNK kita pada separuh penggal yang kedua 2015 adalah pada paras 4.9% dengan pertumbuhan pada kadar 5.3% pada penggal pertama tahun ini.

Kita juga telah memperbagaikan ekonomi kita dengan mengurangkan pergantungan kepada sumber pendapatan minyak dan gas, sekaligus mencipta suasana fiskal yang lebih berdaya tahan.

Pada masa yang sama, ekonomi kita terus merekodkan lebihan dagangan dan juga akaun semasa.

Suasana pasaran buruh negara juga berada dalam situasi yang stabil dengan kadar pengangguran pada paras 3.1% sahaja menjelang separuh kedua tahun ini. Kadar inflasi dicatatkan pada kadar 3.1% pada Ogos.

Sistem Kewangan Malaysia juga masih utuh dan berdaya tahan manakala pasaran kewangan domestik terus berfungsi dalam keadaan yang teratur untuk mendokong keperluan ekonomi domestik.

Tetapi apakah yang diperlukan untuk ekonomi kita kukuh?

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz: Pertama, apabila Rizab Persekutuan AS memutuskan ia keluar dari kadar faedah sifar. Masih terdapat ketidaktentuan dan ia menyebabkannya tidak stabil.

Ekonomi AS sebenarnya telah pulih dan pemulihannya makin kukuh. Kita berharap agar mereka keluar dari apa yang dikatakan sebagai langkah-langkah ekstrem dan tidak pernah berlaku.

Kita perlu banyak bersabar dan melihat ke hadapan, dan apabila ia berlaku, saya percaya ia akan menyumbang kepada pemulihan dan kestabilan.

Kedua, harga komoditi dan tenaga akan pulih dari paras terendah sekarang dan keadaan di China sendiri akan stabil.

Apabila kesemua ini berlaku secara kumulatif termasuklah juga isu-isu domestik, kita akan melihat pemulihan ke atas matawang yang mencerminkan asas-asas fundamental kita.

Kita mempunyai asas pertumbuhan yang baik dan kita dianggap sebagai salah satu daripada prestasi ekonomi terbaik selama lebih lima tahun.

Asas makro ekonomi kita begitu kuat, kita mempunyai sektor perbankan yang kukuh dan tiada gangguan dalam pertumbuhan kredit.

Selain negara mengamalkan sistem ekonomi terbuka, salah satu punca mengapa kita begitu terjejas akibat kelembapan ekonomi global semasa adalah kerana pasaran kewangan kita lebih besar dan maju.

Malah pasaran kita merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan ia mengundang aliran masuk. Anda boleh menjangkakan apabila terdapat keterbalikan, kita merasa pergerakan lebih ketara dalam aliran ini dan dalam kadar tukaran.

Jika anda melihat sejenak ketika mata wang kukuh, ringgit merupakan yang terawal kembali pulih dan kukuh. Sudah tentu, memandangkan pembalikan itu sekarang, ia juga mengalami susut nilai paling tinggi.

Kini kita melihat ia lebih mudah meruap dan inilah yang akan berlaku. Semua pihak perlu tahu menguruskan diri untuk hidup dalam persekitaran seperti ini.

Sebab itulah kita membina penampan untuk rizab kita dan bekerja keras bagi memastikan sistem kewangan kita berdaya tahan dalam usaha menghadapi keadaan ini dengan lebih baik.

Perniagaan juga perlu melakukan perkara yang sama dan begitu juga dengan setiap isi rumah. Mereka juga tidak terkecuali.

TENTANG KEWANGAN / MATAWANG

Faktor 3+1 Beri Kesan Kepada Ringgit…

Mengapa ringgit menyusut begitu mendadak dan menjunam dan adakah ia merupakan salah satu prestasi terburuk di Asia? Adakah ia disebabkan oleh isu 1MDB, krisis politik atau hanya kerana penurunan harga minyak yang berterusan?

Datuk Seri Abdul Wahid Omar: Cara terbaik untuk menjawab soalan ini adalah menerusi penjelasan “3+1” iaitu tiga cabaran luaran dan satu cabaran domestik.

Dari segi cabaran luaran, pertamanya, terdapat perubahan dalam aliran pelaburan dari pasaran yang baru muncul kepada ekonomi AS. Oleh itu, Malaysia sebagai sebuah pasaran baru muncul dipengaruhi oleh kesan negatif.

Keduanya, kita masih merupakan pengeksport bersih bagi minyak dan gas,  dan kita terjejas teruk dengan kemerosotan harga minyak dunia.

Ketiga, perdagangan dengan China pada tahun lepas mencatatkan 14 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan, menjadikan China sebagai rakan dagang kita yang terbesar.

Malaysia merasai kesan daripada pertumbuhan sederhana China yang merupakan sebahagian daripada usahanya untuk mengimbangi semula dagangannya dan kemampanan ekonominya.

Satu-satunya cabaran domestik adalah sentimen dalaman kita yang memburukkan lagi semua kesan luaran terhadap ringgit.

Adakah kita perlu rasa bimbang terhadap rizab asing yang semakin susut?

Zeti: Kita pernah mengalami satu tempoh kejatuhan rizab sebelum ini. Rizab asing baru-baru ini menyusut dari AS$120-130 bilion kepada kira-kira AS$94 bilion. Tetapi apabila kesempatan muncul, kita akan bangunkan semula rizab asing kita.

Malah pada paras semasa, rizab asing kita adalah bersamaan dengan kira-kira 7.4 bulan import, yang menunjukkan suasana yang sihat. Rizab kita akan meningkat apabila lebihan akaun semasa berlaku, kemasukkan pelaburan dan perubahan dalam aliran keluar kepada pasaran maju.

Melihat kepada senario semasa, adakah rakyat Malaysia boleh membuat kesimpulan bahawa kita tidak akan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 kerana ringgit yang lemah?

Datuk Seri Idris Jala: Kita masih berada di atas landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Status berpendapatan tinggi” sepertimana yang ditakrifkan oleh Bank Dunia ialah sasaran yang bergerak, kerana secara praktikalnya boleh dikatakan semua negara akan mengalami peningkatan kepada paras pertumbuhan ekonomi dari semasa ke semasa.

Namun begitu, Malaysia terus untuk berkembang jauh lebih pesat berbanding jumlah purata dunia. Oleh itu, kita jauh lebih hampir kepada ambang berpendapatan tinggi sebagaimana yang ditakrifkan Bank Dunia sejak 2010.

Selain itu juga, kemeruapan kadar tukaran telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Apabila masa berlalu, kadar tukaran akan mencerminkan asas ekonomi dan dasar kewangan yang sebenarnya.

Kita adalah kukuh. Pada masa ini, cabaran jangka pendek telah mewujudkan banyak perhatian dan kebimbangan di sekeliling mengenai apa yang akan berlaku antara sekarang hingga 2020.

Pandangan saya ialah kita perlu menyedari bahawa terdapat cabaran-cabaran yang mendatang, dan pada masa sama meneruskan dasar-dasar yang baik. Saya yakin sekiranya kita terus berbuat demikian, kita akan mencapai Wawasan 2020 menjelang tahun 2020.

Ada pendapat bahawa kita tidak boleh membiarkan kejatuhan ringgit berterusan dan pada satu tahap, langkah-langkah kawalan modal perlu diperkenalkan bagi mengelakkan ringgit daripada terus menyusut. Apakah pandangan anda tentang hal ini?

PM: Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak akan mengenakan langkah-langkah kawalan modal atau menambat ringgit walaupun kita sedang berhadapan dengan kesukaran. Sebaliknya, pentadbiran saya akan meningkatkan keupayaan ekonomi domestik dan terus menarik pelaburan.

Beberapa contoh adalah projek transit aliran massa Kuala Lumpur, Lebuh Raya Pan-Borneo, projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dan projek terminal gas dan minyak Petronas Pengerang di Johor.

Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS pastinya menjejaskan perdagangan secara negatif. Apakah ia memberi kesan tidak baik kepada ramai ahli perniagaan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed: Dengan pergerakan mata wang  semasa, pastinya ada yang berjaya dan tidak.

Daripada perspektif dagangan, ia merupakan positif yang bersih buat Malaysia.  Bagi syarikat individu, kebanyakannya bergantung kepada kos input mereka – sama ada mendapatkan sumber secara domestik atau import dan kepada pasaran mana anda menjual barangan anda.

Ringkasnya, apabila kita bercakap kepada syarikat multi nasional dalam sektor elektrikal dan elektronik, misalnya, kita mendapati mereka mula melihat kesan yang positif.

Pengguna, mereka yang mengembara ke luar negara, mereka yang mempunyai anak yang sedang belajar di luar negara – mereka akan merasai kesan kejatuhan nilai mata wang dan merasai keperitan dan tekanan pada masa sekarang.

Tetapi dengan kesemua dipertimbangkan sebagai sebuah negara, dalam jangka sederhana ke jangka masa panjang  khususnya untuk eksport, terdapat kebaikan yang akan dinikmati.

TENTANG ISI RUMAH BERPENDAPATAN RENDAH

Membasmi Kemiskinan…

Adakah BR1M merupakan satu pembaziran kepada wang negara memandangkan terdapat kes ia disalahgunakan? Adakah kita mampu menanggung ini semua?

Idris: BR1M merupakan inisiatif fiskal yang membina, secara langsung menyalurkan wang berkenaan kepada mereka yang berkelayakan, tidak seperti subsidi yang memperkayakan mereka yang tidak memerlukannya.

Ini bermakna dengan menyediakan bantuan kewangan untuk segmen yang tidak berkemampuan, ia berupaya menyerapkan kesan kenaikan kos sara hidup.

Memandangkan kita sedang beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi, tiada kumpulan yang seharusnya dipinggirkan dan adalah penting untuk menumpukan kepada jaringan keselamatan kewangan bagi golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi ia telah memberikan pendapatan tambahan kepada dana kerajaan, kita akan menjadi lebih cekap dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah.

BR1M sebagai pemberian wang tunai merupakan mekanisme yang begitu kuat untuk mengurangkan tekanan tanpa mengambil banyak daripada perbelanjaan kerajaan yang sedia ada.

Ketika kita bercakap untuk menjadi negara maju, kita masih melihat wujudnya kemiskinan di negara kita, dan kita tidak melakukan yang secukupnya untuk golongan B40.

Idris: Setiap negara mempunyai golongan di bawah paras B40 dan kebanyakkan negara menghadapi kesukaran untuk menangani kemiskinan. Tanpa mengira apa sahaja yang anda lakukan untuk menangani masalah ini, masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Juga sentiasa terdapat kecacatan kesinambungan di antara data dan sentimen, namun tuntutan yang sukar bagi membuat dasar memerlukan kita untuk mengkaji data bagi mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.

Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ke atas sampel 81,634 isi rumah menunjukkan data awal bahawa hanya satu peratus isi rumah hidup di bawah Indeks Garis Kemiskinan (PLI) pada 2014.

Selain itu, ketidaksamaan pendapatan keseluruhan telah mengecil dengan penurunan indeks pekali dari 0.441 pada 2009 kepada 0.401 pada 2014.

Bagi pemahaman yang lebih baik mengenai paras pendapatan, bancian awal bagi isi rumah pada 2014 yang dilakukan oleh JPM menunjukkan kedua-dua pendapatan isi rumah sederhana dan purata pada 2014 meningkat masing-masing sebanyak 8 peratus dan 8.5 peratus, melepasi kadar inflasi pada 2.3 peratus.

Situasi bagi B40 menunjukkan lebih banyak harapan – dengan pendapatan meningkat lebih tinggi berbanding purata keseluruhan sebanyak 12 peratus.

Adalah jelas bahawa transformasi ekonomi secara beransur-ansur berjaya sampai ke peringkat akar umbi. Pelbagai inisiatif seperti gaji minimum dan BR1M serta program yang menjana pendapatan seperti 1AZAM telah membantu meningkatkan paras pendapatan dan membuka lebih banyak peluang. Sudah tentu, kita tidak boleh berhenti setakat itu sahaja.

Kita perlu lebih fokus dalam mengurangkan beban B40 dan sebab itulah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menekankan inisiatif yang direka untuk mengangkat pendapatan isi rumah B40 ke arah menjadikan mereka masyarakat kelas pertengahan.

Satu ciri yang membezakan masyarakat kelas pertengahan ialah sebahagian besarnya mempunyai pendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Di bawah RMK-11, sasaran yang perlu dicapai ialah:

Meningkatkan saiz masyarakat kelas pertengahan kepada 45 peratus;

Menggandakan pendapatan bersih bulanan bagi isi rumah B40 dari RM2,537 pada 2014 kepada RM5,270 pada 2020 dan garis rentang pendapatan bulanan dari RM2,629 pada 2014 kepada RM5,701 pada 2020;

Meningkatkan peratus isi rumah B40 dengan pencapaian pendidikan tinggi dari sembilan peratus pada 2014 kepada 20 peratus pada 2020; dan

Meningkatkan bahagian pendapatan isi rumah B40 kepada isi rumah negara dari 16.5 peratus pada 2014 kepada 20 peratus pada 2020.

TENTANG GST

Mengenakan Cukai Tapi Tidak Terlalu Bebankan Rakyat

GST adalah polisi yang tidak disukai ramai dan telah dipersalahkan sebagai punca kepada kelembapan perniagaan. Ia juga mendorong kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, dan membebankan isi rumah. Komen anda?

Wahid Omar: GST adalah satu bentuk cukai yang efisien dan menyeluruh. Di Malaysia, ia telah dilaksanakan menerusi pakej “ofset” seperti kadar cukai lebih rendah, senarai panjang barangan yang dikenakan kadar cukai sifar dan dikecualikan daripada cukai berkenaan. Ini bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban. GST juga merupakan salah satu alat untuk mempelbagaikan hasil cukai.

Pendapatan yang terlalu bergantung kepada hasil cukai korporat dan individu bermakna asas cukai kita sebelum ini terlalu sempit. Hanya kira-kira 10 peratus daripada golongan berpendapatan di Malaysia yang benar-benar membayar cukai pendapatan. Ia disebabkan pelbagai perkara termasuklah sebahagian pendapatan tidak dilaporkan, Kerajaan tidak mempunyai pilihan tetapi dengan memperluaskan dasar cukai.

Cukai nilai tambah seperti GST bermakna semua yang berkemampuan untuk berbelanja lebih akan dikenakan lebih cukai.

Kadar GST enam peratus merupakan antara yang terendah di dunia, termasuk Asean, dengan Singapura dan Thailand pada tujuh peratus; Indonesia, Vietnam dan Kemboja dengan 10 peratus dan Filipina 12 peratus.

Kadar inflasi dianggarkan kira-kira tiga peratus dengan mengambil kira kesan kepada pelaksanaan GST sebanyak 1.1 peratus.

Pada masa sama, senarai barangan GST kadar sifar termasuklah beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan, ubat, buku, bahan api petrol RON95 dan diesel. Kesemua ini sepatutnya membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagi meringankan beban golongan miskin, Kerajaan telah meningkatkan pemberian bantuan wang tunai menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM3,000 sebulan, dari RM650 kepada RM950, manakala mereka yang berada dalam lingkungan pendapatan RM3,000-RM4,000 diberikan bantuan sebanyak RM750.

GST bukanlah satu cukai tambahan. Sebaliknya, ia menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus.

TENTANG ISU 1MDB

Ia Model Perniagaan Yang Terlalu Idealistik…

Bagaimana anda melihat isu 1MDB, yang berterusan menjadi perbalahan?

PM: Model perniagaannya terlalu idealistik sebelum ini dan pelaburannya dalam Edra Global Energy tidak memenuhi sasaran penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) yang pesat, oleh itu ia dibebani dengan jumlah pembiayaan hutang yang besar. Bank Negara tampil mengatakan bahawa tiada risiko sistemik berkaitan dengan 1MDB. Dengan erti kata lain, sekiranya ia gagal, kesan kewangan dibendung.

Kita menjangkakan untuk mengurangkan jumlah hutang bagi 1MDB dengan satu jumlah yang signifikan iaitu RM16 bilion. Sebagai contoh, menerusi Edra Global Energy Bhd, terdapat dua cadangan besar yang dipertimbangkan untuk mengambil alih aset tenaganya.

Saya yakin apabila kita mengakhiri 2015, 1MDB akan menjalani proses rasionalisasi dengan pengurangan hutang secara besar-besaran.

Kontroversi 1MDB telah menimbulkan kebimbangan yang serius terhadap tadbir urus di Malaysia.

PM: Saya bersetuju bahawa terdapat kebimbangan mengenai tadbir urus akibat permasalah yang timbul membabitkan 1MDB. Kita melakukan proses siasatan yang ketat dan lengkap, dan salah laku akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Terdapat tiga agensi yang terlibat: Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara. Kesemua siasatan ini sedang berjalan dan kita akan mendapat jawapannya nanti.