Jepun Bersedia Bantu Malaysia Dalam Bidang Ekonomi – Shinzo Abe

PETALING JAYA, 21 Nov – Jepun menawarkan untuk menyediakan pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia berikutan ekonomi yang lembab di negara ini.

imagePerdana Menteri Jepun Shinzo Abe (gambar) memberitahu The Star,  Jepun akan menawarkan kerjasama penuh kepada Malaysia melalui pelaburan infrastruktur “menerusi kualiti dan kuantiti”, seperti pelaburan yang dipromosikan negara itu.

“Saya yakin bahawa kerjasama berkaitan infrastruktur dalam bidang seperti loji kuasa arang batu berkecekapan tinggi, kerja air dan komunikasi serta teknologi maklumat akan membolehkan kami membantu aspirasi Malaysia mencapai ekonomi bernilai tinggi dan merealisasikan Wawasan 2020.

“Saya juga percaya bahawa pengenalan Shinkansen kami bagi projek kereta api berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura akan membawa kemajuan kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa sederhana dan panjang,” jelasnya.

Abe berkata, Jepun berasa lebih mesra apabila Malaysia meneruskan sokongan kepada negara berkenaan ketika gempa bumi pada 2011.

“Kamu adalah seorang kawan yang diperlukan. Oleh itu, saya berharap dapat meningkatkan hubungan dua hala ini,” ujarnya.

Beliau berkata Malaysia merupakan peneraju ekonomi di Asia dan “pusat pertumbuhan sedunia”, sambil menambah Jepun mempunyai harapan yang tinggi daripada pertumbuhan di Malaysia.

“Jepun akan bekerjasama melalui pelbagai cara bagi memastikan pembangunan mampan Malaysia dan negara lain di rantau ini,” kata Abe.

Menerusi Dasar ‘Pandang Ke Timur’, Malaysia telah menghantar tidak kurang daripada 15,000 pelajar ke Jepun sejak tahun 1982.

Abe berkata, Jepun berharap untuk memajukan lagi hubungan dua hala tersebut dan kerjasama melalui  Gelombang Kedua Dasar Pandang ke Timur (LEP 2.0).

“Ini akan meneroka kerjasama dalam bidang lain seperti teknologi perindustrian maju, perkhidmatan dan kemahiran pengurusan,” kata Abe.

Selain itu, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang disusun oleh Jepun dan Malaysia bersama dengan negara-negara Pasifik lain, mempunyai kepentingan strategik dalam berkongsi kemakmuran melalui mewujudkan ekonomi baru di rantau Asia Pasifik yang pesat berkembang.

“Sumbangan oleh Jepun dan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik kepada keamanan serantau dan kemakmuran global seharusnya mewujudkan kesejahteraan antara dua negara ini dan rakyat.

“Kedua-dua negara akan bertambah maju dengan berkongsi nilai-nilai asas seperti kebebasan, demokrasi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, dan menyumbang sebagai rakan kongsi strategik untuk rantau ini,” menurut beliau.

Bagaimanapun, Abe berkata keselamatan serantau kini berada dalam keadaan bahaya kerana terdapat cubaan pihak tertentu yang mahu menukar status dengan melakukan penambakan laut di Laut China Selatan.

“Jepun akan memberi sokongan kepada negara-negara anggota Asean dalam bentuk yang luas untuk mengukuhkan keupayaan rantau ini,” jelasnya.

Advertisements