Hanya Emosi Pendorong Bantahan TPPA – Penganalisis Politik

SHAH ALAM, 22 Nov – Penganalisis politik Prof Madya Dr Azmi Hassan berpendapat kebanyakan bantahan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hanyalah bersandar kepada emosi semata-mata.
image

Beliau merasakan perjanjian perdagangan yang melibatkan 12 negara sekitar sempadan Pasifik itu untuk kebaikan Malaysia juga. 

“Kalau kita protes pun mesti berasaskan maklumat yang betul, apa yang saya risaukan ialah protes itu berdasarkan emosi. Jadi ini tidak baik untuk masa depan negara kerana TPPA ini bukan untuk kepentingan sebuah negara lain tapi untuk negara kita juga,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Semalam lebih kurang 50 ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berkumpul di pusat bandar raya Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap TPPA ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.

Turut hadir adalah wakil parti pembangkang seperti Dr Michael Jeyakumar dari PSM, Nor Azli Musa dari PAS, dan ahli Parti Amanah Negara (Amanah).

Kumpulan itu berarak dari Masjid As Syakirin berdekatan Menara Berkembar Petronas di KLCC ke stesen LRT Ampang Park sambil menyanyi lagu kebangsaan Malaysia dan melaungkan slogan anti-TPPA.

Ketika ditanya apa yang ditakuti oleh peserta ini, Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menjelaskan, mungkin mereka khuatir hak golongan Bumiputera dinafikan.

“Perkara utama mungkin mereka runsing tentang hak-hak Bumiputera tetapi dalam TPPA itu memang diberi kelonggaran 30% daripada projek kerajaan diberikan khas kepada Bumiputera. Ini adalah konsesi yang diperolehi Malaysia,” jelas beliau.   
 
Tambah Azmi lagi, aktiviti bantahan ini adalah perkara lazim yang juga berlaku di negara yang terlibat dalam perjanjian ini tetapi keputusan sama ada ia diteruskan atau tidak terletak kepada kerajaan.

“Untuk membantah tu memang menjadi hak semua orang tapi dalam hal ini keputusan terletak kepada Ahli Parlimen negara untuk mereka membahaskan perkara ini.

“Jadi bantahan ini bukan dikatakan satu perkara yang pelik dan boleh memberi kesan tapi minimum saja kepada keputusan kerajaan selepas ini,” katanya.

Pada Mac lalu kerajaan memberi jaminan bahawa isu TPPA ini akan dibentang di Parlimen untuk dibahaskan sebelum membuat sebarang keputusan sama ada memeterai atau tidak perjanjian perdagangan tersebut.