Perangi IS Bukan Bermakna Perangi Islam – Barack Obama

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan peperangan menentang militan Negara Islam (IS), bukan peperangan menentang Islam.

imageIa adalah memerangi keganasan merentasi agama, kaum dan latar belakang. Presiden AS itu juga menegaskan rantau Asia sebagai kritikal dalam menangani keganasan global.

Obama berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini bagi mengakhiri lawatan tiga hari ke Malaysia.

Obama tiba di sini sejak Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, AS dan sekutunya tidak akan berlembut dalam perang terhadap militan IS dan akan memburu ketua serta putuskan sumber kewangan mereka.

“Menghapuskan (IS) bukan sekadar sasaran realistik, kami akan pastikan ia dilaksanakan dengan jaya.

“Kami akan musnahkan mereka, ambil balik tanah yang mereka rampas, putuskan sumber kewangan, buru ketua mereka, hapuskan rangkaian dan rantaian bekalan mereka, …dan hapuskan mereka,” katanya.

Justeru, Obama berkata, Russia akan banyak membantu jika ia memberi tumpuan untuk menangani IS dan beliau berharap negara itu setuju perlunya peralihan kepimpinan di Syria yang bermakna presidennya berundur.

Katanya, Russia perlu membuat keputusan strategik untuk hancurkan IS, bukannya kumpulan sederhana yang cuba menumbangkan Presiden Syria, Bashar Assad.

Beliau berkata, operasi ketenteraan Russia setakat ini bukannya mengekang IS, malah dalam banyak keadaan, menguatkan lagi kumpulan itu.

Dalam pada itu, Obama berkata, beliau menjemput semua pemimpin ASEAN untuk persidangan di AS tahun depan.

Katanya, hubungan baik dengan negara di Asia adalah ‘sangat kritikal’ kepada aspek pertahanan AS.

Advertisements