Tiada Jangkamasa Ditetapkan Untuk Siasatan 1MDB – Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh untuk menyelesaikan siasatan isu berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

imageBeliau berkata, pasukan petugas khas masih dalam proses melengkapkan siasatan dan proses berkenaan akan selesai setelah keterangan kesemua saksi dirakam dan dokumen berkaitan diperoleh.

“Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak termasuk yang berada di luar negara, maka tiada jangka masa ditetapkan untuk penyelesaian.

“Hasil siasatan pasukan petugas khas akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Datuk Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Zainuddin meminta kerajaan menjelaskan status terkini pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan Pejabat Peguam Negara bagi menyiasat kes 1MDB dan bilakah pasukan ini dijangka menyiapkan laporan mereka.

Selain itu, beliau ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang untuk membentangkan hasil laporan itu ke Parlimen.

Advertisements