Nasrudin ‘Sindir’ Mat Sabu Kaitkan ISIS Dengan PAS

SHAH ALAM, 2 Dis – Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan ‘menyindir’ Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang mendakwa PAS diresapi oleh pemikiran Kumpulan Militan negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

imageAhli Parlimen Temerloh itu berkata, tuduhan oleh Mohamad atau Mat Sabu itu ‘lucu’ apabila mengaitkan PAS dengan ISIS hanya beberapa bulan selepas meninggalkan parti itu.

“Lucunya, baru beberapa bulan mereka keluar PAS, tetiba PAS jadi militan? Jadi ISIS? Lalu mereka menyelongkar kisah silam kononnya sebagai bukti PAS ganas?

“Sedang sekian lama mereka berteduh di bawah payung PAS. Semasa mereka berteduh, sekian lama di bawah bendera PAS, PAS dijulang oleh mereka sebagai demokratik.

“Tetapi, bila mereka keluar, tak sampai empat bulan, PAS jadi ganas hanya dengan satu dua kes silam yang di angkat kembali secara tanggapan yang salah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyifatkan dakwaan Mat Sabu itu sebagai keterlaluan dan dikitar semula, Nasrudin menjelaskan PAS adalah sebuah parti politik yang berdaftar serta menghantar laporan aktiviti dan rutin kedudukan organisasi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) saban tahun.

“Malah aktiviti PAS adalah di pentas politik terbuka. Kita bukan gerakan subversif apatah lagi militan. Saya percaya pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) ataupun (Majlis) Keselamatan Negara senantiasa memantau pergerakan PAS.

“Alhamdulillah, sehingga kini PAS tidak pernah dibuktikan terlibat dengan gerakan keganasan.

“Malah isu pengeboman di Paris, Presiden PAS dan Ahli Parlimen PAS segera ke Kedutaan Perancis untuk melahirkan simpati kepada kerajaan Perancis dan mengutuk kekejaman atau keganasan yang berlaku,” kata Nasrudin lagi.

Semalam, Mat Sabu yang dipetik daripada portal The Malaysian Insider mendakwa antara punca penubuhan Amanah adalah kerana bekas partinya, PAS, sudah diresapi pemikiran ISIS.

Mat Sabu juga menggesa pihak keselamatan menjalankan siasatan ke atas penyusupan pemikiran ISIS yang menyebabkan suburnya budaya ‘takfiri’ dalam PAS.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Azizย  mencabar Mat Sabu supaya membuktikan dakwaannya bahawa parti Islam itu sudah diresapi oleh pemikiran ISIS.

Advertisements