488,787 Rakyat Malaysia Dilarang Keluar Negara – KDN

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Sejumlah 488,787 warganegara Malaysia telah dilarang keluar negara atas pelbagai sebab sehingga 19 Oktober tahun ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

imageDalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, KDN berkata antara sebab mereka dihalang ke luar negara ialah perintah mahkamah, tidak melangsaikan cukai pendapatan, tidak membayar hutang bank, serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, KDN berkata kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan melarang individu pergi dan masuk atas sebab-sebab yang boleh memudaratkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara khususnya.

Ia bagi menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin mengetahui jumlah individu, termasuk anggota-anggota parlimen, yang telah dilarang oleh kerajaan ke luar negara, serta sebab-sebab terhadap larangan itu.

Namun, KDN memaklumkan, Jabatan Imigresen tidak menyimpan rekod berdasarkan butiran kerjaya seseorang sama ada mereka adalah Ahli Yang Berhormat ataupun bukan.

Di samping itu, kementerian berkata jumlah orang yang disenaraihitamkan akan berubah dari semasa ke semasa berdasarkan arahan dari agensi-agensi berkaitan.

“Ingin dimaklumkan juga bahawa mana-mana individu yang mempunyai keraguan serta ingin menyemak status kebenaran keluar, boleh menggunakan sistem semakan secara dalam talian di laman web Jabatan Imigresen Malaysia,” kata kementerian itu lagi. – Bernama