SPRM Temui Najib Razak Berkaitan Wang Derma RM 2.6 Bilion

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dipercayai menemui Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung wang derma sebanyak RM2.6 bilion.

imageAbu Kassim dilihat meninggalkan Parlimen sekitar tengah hari, manakala kenderaan yang membawa Perdana Menteri juga kelihatan diletakkan di pekarangan Menara Parlimen.

Pertemuan itu dikatakan berlangsung di pejabat Perdana Menteri di bangunan menara berkenaan.

Beberapa pegawai Kementerian Kewangan juga kelihatan memasuki bangunan itu menggunakan beberapa kenderaan berasingan.

Sumber SPRM memaklumkan, badan berkenaan akan merakamkan kenyataan Najib, bagaimanapun tidak dapat disahkan di mana dan bila ia akan diadakan.

Dipercayai pertemuan hari ini diatur kerana ia sesuai dengan tarikh dan masa untuk SPRM menyoal Najib.

Baru-baru ini Perdana Menteri berkata, beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM untuk membantu siasatan berkaitan 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International Bhd.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali berkata, beliau akan meminta Najib untuk memenui SPRM bagi mempercepatkan siasatan.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Dewan Rakyat pada pagi Khamis untuk menjelaskan isu berkaitan dana berkenaan bagi menggantikan Najib.