“Penderma Dana RM2.6 Bilion Tidak Mengharap Balasan” – Najib Razak

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu akar umbi parti bahawa penderma dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau tidak mengharapkan sebarang balasan atas sumbangan itu.

imageNaib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Najib, dalam Taklimat Presiden Umno di Persidangan Agung Umno 2015 menegaskan tidak timbul soal kepentingan negara dkompromi dengan sumbangan berkenaan.

“Beliau (Najib) menyatakan pihak yang memberikan derma dalam dana politik berkenaan  tidak memerlukan sebarang balasan daripada sumbangan yang diberikan itu.

“Beliau (juga) nyatakan mana-mana parti politik memerlukan dana (dan) dana itu adalah sebagai alat dan bukan matlamat,” katanya kepada pemberita.

Najib menyampaikan taklimatnya secara tertutup kepada perwakilan malam tadi dengan menyentuh tiga perkara utama, iaitu membabitkan derma RM2.6 bilion, kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cabaran ekonomi.

Najib, menjelaskan derma berkenaan bukan diperolehi dari dana awam atau syarikat pelaburan strategik 1MDB, sebagaimana yang disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri itu berkata sumbangan itu dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebagaimana yang dikehendaki oleh penderma berkenaan.

Sehubungan itu, ujar Ahmad Zahid penjelasan Najib adalah penting supaya seluruh perwakilan mendapat fakta yang sebenar.

Malah menyentuh kontroversi 1MDB, Ahmad Zahid menegaskan program rasionalisasi membabitkan syarikat berkenaan berjalan dengan lancar meskipun timbul beberapa dakwaan membabitkan urusan pembelian oleh Edra Global Energy Berhad.

“Oleh kerana ini adalah tender antarabangsa terbuka maka pembida yang tertinggi akan memperolehi tawaran itu,” katanya sambil menambah pinjaman boleh dibayar kerana nilai hartanah dan aset yang dipegang 1MDB melebihi jumlah hutang.

Dalam pada itu Ahmad Zahid memberitahu Najib berjaya memperlihatkan keupayaannya meningkatkan tahap ekonomi negara sejak mengambilalih pentadbiran negara.

“Najib menyatakan beliau perlu memperbetulkan fakta-fakta yang telah diselewengkan oleh serangan yang pelbagai, terutamanya apabila seorang tokoh memberitahu negara ini menjadi sebuah negara miskin dan rakyat menjadi pengemis,” katanya lagi.

Advertisements