Dakwaan “UMNO Mencari Dahan Untuk Berpaut” Tuduhan Tak Berasa – Ir Nawawi

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Dakwaan yang ‘diratib’ oleh pihak-pihak tertentu kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang mencari dahan untuk berpaut dalam usaha meneruskan kesinambungan politik bukan sahaja dangkal tetapi jelas tersasar.

imageAhli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Hj Ahmad berkata UMNO menerusi BN hakikatnya adalah umpama pohon yang rendang dan sentiasa menjadi tempat untuk semua rakyat di negara ini menumpang berteduh.

Oleh kerana itu jelas beliau UMNO sebagai tunjang kerajaan sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana jua pihak sekiranya kerjasama tersebut dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat.

“Dakwaan sedemikian rupa adalah satu dakwaaan yang tidak logik kerana pertamanya sebagai parti yang masih mendapat kepercayaan rakyat pada pilihan raya umum yang lalu sudah tentu pelbagai inisiatif akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melakukan pelbagai transformasi demi kepentingan bersama.

“Janganlah bersikap selektif dalam pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Dan janganlah terlalu cepat membuat kesimpulan dengan apa yang akan dilaksanakan dan apa yang sedang direncanakan sebaliknya melihat dengan rasional serta matang.

“Sebagai contoh, sebelum ini Datuk Seri Najib Razak duduk sepentas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ianya adalah untuk umat Islam. Malah saya percaya dan penuh yakin Datuk Seri Najib sedia mengambil langkah yang sama untuk kepentingan mana-mana pihak sekalipun, yang penting adalah untuk rakyat dan negara,” katanya.

Sambil menyifatkannya sebagai dakwaan tidak berasas beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Langkawi seterusnya menambah mereka yang sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa adalah mereka yang tidak melihat secara realiti dan mendalam apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.

“Kerajaan bukanlah maksum dan sudah pasti ada kekurangan dan kelebihan. Sebab itu saya katakan dakwaan seumpama itu tidak logik kerana kita percaya kerajaan ingin membuat sesuatu yang terbaik untuk rakyat.

“Sebarang teguran dan sebagainya sudah pasti dialu-alukan tetapi biarlah menerusi saluran yang betul dan bukannya sekadar mahu mencari kepentingan politik semata-mata” ujar beliau.