Pembayaran Rebat GST Kad Prabayar Dalam Masa 24 Jam

PENAMPANG, 4 Jan – Pelaksanaan rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kad prabayar bermula 1 Januari lepas berjalan dengan lancar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Senator Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Ahad.

imageBeliau berkata pembayaran rebat itu, yang dimasukkan secara automatik dalam baki akaun pelanggan, dilakukan dalam tempoh 24 jam pembelian kredit masa berbual.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa memantau perkembangan ini… kita meminta syarikat telekomunikasi memberi penjelasan (kepada pelanggan) mengenai rebat ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Krismas Umno Penampang di sini.

Salleh turut menjelaskan pemberian rebat itu bukan bermaksud GST dalam kad prabayar telah dihapuskan.
“Kita hanya bagi rebat kepada warganegara. Bukan warganegara, tidak (nikmati) rebat sedemikian,” jelasnya.

Pada 29 Disember lepas, Salleh berkata kira-kira 20 juta rakyat Malaysia akan menikmati faedah rebat GST bagi kad prabayar mulai tahun ini.

Beliau berkata bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2016, pelanggan prabayar yang terdiri daripada warganegara Malaysia layak mendapat rebat GST.

Di KUALA LUMPUR, Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata proses  rebat itu berjalan lancar namun, syarikat telekomunikasi perlu melipatgandakan usaha untuk memaklumkan penjual dan ejen mereka berhubung mekanisme rebat supaya pengguna mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai perkara itu.

Beliau berkata semua syarikat telekomunikasi melaksanakan pemberian  rebat seperti yang diarahkan kerajaan dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan kelancaran pelaksanaan proses itu.

“Setakat ini, pemantauan mendapati pelaksanaan rebat berjalan lancar tetapi kami akan terus memantau keadaan ini,”katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata melalui makluman balas dan pemantauan yang dijalankan SKMM, walaupun tiada aduan daripada pengguna, syarikat-syarikat telekomunikasi sedar ada segelintir penjual dan ejen yang masih belum memahami proses berkenaan.

Halim berkata pelaksanaan rebat itu tidak bermakna GST perkhidmatan prabayar  telah dimansuhkan.

“Pada pembentangan Bajet 2016 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim rebat yang dimaksudkan dan bukannya pemansuhan GST untuk perkhidmatan prabayar mudah alih seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

“SKMM ingin mengingatkan pengguna-pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai isu ini dan pastikan dapat maklumat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai,”katanya. – BERNAMA