PAS Ulangi Ketegasan Tak Akan Adakan Perbincangan Dengan Amanah

KOTA BAHARU, 5 Jan – Pintu perbincangan antara PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah ditutup untuk rundingan mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

imageBeliau berkata perbincangan itu tidak perlu diadakan kerana Amanah pernah membuat perjanjian dengan parti itu untuk tidak bertanding di Kelantan.

“Tapi dia (Amanah) kena ingat janji dia dahulu (untuk tidak bertanding) di Kelantan… orang ingat janji dia tu.

“Kalau dia nak bertanding itu hak dia. Dalam negara demokrasi tak ada orang boleh ganggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Selasa.

Mohd Amar mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah semalam bahawa Amanah masih membuka pintu rundingan dengan PAS bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum nanti.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak akan menghantar wakilnya untuk menghadiri sebarang perbincangan dengan Amanah kerana dari awal lagi PAS “tak ada apa-apa hubungan” dengan parti itu.