Perpaduan Kearah Pengukuhan Kepimpinan Ummah

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia yang hidup diatas mukabumi ini ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat.

image

Maka untuk mempastikan tercapainya hasrat tersebut, manusia perlu berusaha dengan sedaya upaya bagi menjadikan kehidupan bermasyarakat itu terlaksana. Mereka mahu atau tidak mahu kita terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri.

Walau bagaimanapun, disebabkan kelemahan manusia itu sendiri maka seringkali tercetusnya permusuhan, perkelahian dan peperangan.

Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu bangsa. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila syaitan mula menguasai fikiran seseorang.

Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang sedia ada, memutuskan kasih sayang, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu dan janda serta balu.

Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini.

Justeru itu, Islam mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara satu sama lain.

Definisi

Perkataan ‘perpaduan’ ini asalnya dari perkataan ‘padu’ iaitu ‘mampat’, ‘pejal’ dan ‘padat’. ‘Perpaduan ialah ‘penggabungan’. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi ‘perpaduan’ ialah ‘permusuhan’, ‘kehancuran’ dan ‘perpecahan’.

Jadi, perpaduan dilihat dari tuntutan Islam adalah satu perkara yang baik iaitu ‘ma’rof’ manakala perpecahan pula satu perkara yang keji atau tidak baik iaitu ‘mungkar’.

Dalam al-Qur’an Allah SWT mengingatkan umat Islam dengan Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)

Ajaran Islam

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan kita dapati Islam telah memberi panduan yang jelas mengenai cara-cara mencapai kesejahteraan itu.

Antara punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu.

Oleh itu, Islam sentiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada umatnya bagi mempastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan.

Maka antara peringatan-peringatan tersebut ialah mengingatkan manusia seluruhnya menyedari akan asal-usul mereka dari bapa dan ibu yang satu. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan yang membiakkan dari kedua-duanya zuriat lelaki dan permpuan yang ramai.” (Surah an-Nisa’ : 1)

Di samping itu, Islam mengingatkan manusia bahawa mereka sebenarnya dari satu keturunan sahaja, maka sepatutnya masing-masing tidaklah merasai sombong dan angkuh terhadap yang lain sekalipun mereka berlainan warna kulit dan bahasa pertuturan.

Menurut Islam, yang mulia di sisi Allah SWT itu ialah yang lebih taqwanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“… Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)…” (Surah al-Hujurat: 13)

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu nikmat Allah SWT yang sangat besar hanya dikurniakan kepada manusia.

Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera.

Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan. Dalam hubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran : 103)

Halangan

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan.

Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri manusia sendiri sama ada sesama manusia atau makhluk Allah SWT yang lain iaitu syaitan.

Sifat sombong dan bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain.

Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan bernegara.

Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan tertentu melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain.

Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Allah SWT mengutuk manusia yang bersikap demikian.

Berlaku tidak jujur atau bersifat keras terhadap orang lain sering menimbulkan rasa tidak puashati dan dendam antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah.

Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)…’ (Muttafak ‘alaihi)

Perbuatan suka mengintip dan menyebarkan keburukan orang lain juga merupakan punca yang menghalang perpaduan.

Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang suka dirinya diintip dan juga tidak rela apa jua keburukannya didedah dan dihebahkan yang boleh menjatuhkan maruah dan air mukanya.

Islam memberi perhatian tentang perbuatan keji seumpama ini. Dalam hubungan ini, Allah SWT dan Rasul-Nya mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan intip mengintip dan mengumpat keji sesama sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain…’ (Surah al-Hujurat: 12)

Selain daripada perbuatan mengumpat dan mendedahkan keburukan orang lain menjadi faktor penghalang perpaduan, perbuatan suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain dengan memberi gelaran-gelaran yang hina juga adalah faktor penghalang perpaduan yang utama dalam masyarakat umat Islam hari ini termasuklah di kalangan umat Islam di Malaysia.

Nama-nama serta gelaran yang buruk ini lebih ketara dalam ucapan ahli-ahli politik ketika memburuk-burukkan lawannya di musim kempen pilihanraya, termasuklah ucapan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang Islam tulen.

Gelaran-gelaran sebagai ‘thghut’, ‘fir’aun’ dan sebagainya sering diberikan kepada individu atau pihak-pihak tertentu.

Berkenaan hal ini, antara lain Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“…Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…’ (Surah al-Hujurat: 11)

Bahaya Perpecahan

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat dibenci oleh Islam. Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah SWT untuk menyatupadukan umat manusia supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan umat Islam dalam pelbagai keadaan serta menjadikan mereka lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada.

Selain dari mengakibatkan kegagalan, perpecahan juga akan menyebabkan hilangnya rahmat dan nikmat dari Allah SWT.

Mereka yang menyebabkan huru-hara dan permusuhan adalah termasuk golongan yang tidak bersyukur atas nikmat Allah SWT yang menjadi salah satu syarat bagi bertambahnya nikmat itu, manakala mengkufurkannya akan menempah bala dan seksa dari Allah SWT.

Perpecahan juga boleh menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh iaitu tidak lagi menggerunkan mereka.

Ini akan menyebabkan umat Islam ditindas dan diancam keselamatan diri, harta-benda dan iman.

Hal ini telah nyata sekarang, dimana-mana saja di dunia ini keadaan umat Islam sangat lemah disebabkan permusuhan sesama sendiri.

Di tanah Arab, Afrika, Asia, malah di negara kita Malaysia sendiri tidak terlepas dari bahaya permusuhan sesama sendiri. Akhirnya umat Islam kalah bukan kerana kekuatan pihak musuh, tetapi kalah kerana kelemahan diri sendiri.

Umat Islam Malaysia

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat Allah SWT yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan.

Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Bagi umat Islam di Malaysia, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan agama Islam dan penganut-penganutnya.

Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana umat Islam di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam keagamaan berbanding dengan apa yang telah dicapai oleh umat Islam di Malaysia hari ini.

Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Selain dari itu, salah satu dari tujuan perjuangan umat Islam ialah mempastikan kita sentiasa berada di hadapan sebagai pemimpin negara bagi maksud menegakkan keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Ini penting kerana dunia hari ini memerlukan suatu kepimpinan yang berwibawa dan adil. Demikianlah juga kita rakyat Malaysia. Kita sentiasa yakin bahawa mereka yang bertaqwa dapat mengurus dan memimpin dengan sebaik-baiknya.

Masalahnya ialah apakah kita umat Islam pada masa ini dan akan datang dapat mempastikan suasana aman dan harmoni ini dapat dikekalkan dan mampukah kita berada di hadapan sebagai pemimpin umat? Inilah permasalahan yang perlu kita teliti dan pastikan.

Sebenarnya kita optimis sekiranya kita mampu mengatasi halangan-halangan yang boleh merosakkan perpaduan.

Penyebaran akidah yang salah di kalangan umat merupakan salah satu faktor yang boleh memecahbelahkan perpaduan kita.

Pada hari ini umumnya masyarakat umat Islam Malaysia berpegang kepada akidah Ahlul Sunnah.

Oleh itu, kita mestilah mempastikan supaya pegangan ini dapat diteruskan dan dipertahankan.

Keburukan yang berupa perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam akan mudah berlaku jika aspek akidah tidak diberi perhatian yang kemudiannya menyebabkan merebak ajaran atau fahaman yang lain dalam masyarakat.

Kemunculan pengaruh aurad Muhammadiah dan lain-lain bentuk kepercayaan karut dalam masyarakat boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan umat Islam sendiri.

Selain dari aspek akidah yang benar yang mesti dipelihara dan dipertahankan, maka bentuk amalan dan ibadat juga mesti diberi perhatian.

Aspek Khilafiah hendaklah dielakkan dari menjadi bahan perdebatan yang boleh membawa kepada keretakan hubungan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.

Orang-orang yang pandai terutama para ulama mestilah mengelakkan diri dari terperangkap dalam perkara-perkara khilafiah tersebut.

Tentulah bijaksana bagi sesiapa jua yang dapat menjaga dan memelihara kebajikan dan kepentingan awam dari kepentingan diri sendiri atau kumpulan masing-masing.

Aspek akhlak atau tingkahlaku umat Islam terutama para ulama mestilah juga mencerminkan akhlak Islam yang sebenarnya iaitu akhlak Rasulullah SAW.

Maka di atas nilai akhlak yang penting dan perlu dipelihara ialah keterlanjuran lidah, terutama menjaganya dari umpat mengumpat, hina menghina dan sebagainya.

Sesungguhnya banyak punca permusuhan dan perkelahian adalah disebabkan pengucapan yang tidak berlandaskan ajaran Islam yang mulia.

Kata-kata yang merendahkan orang lain dan menghinanya dengan bermacam-macam gelaran buruk dan tidak baik akan menambah liarnya seseorang itu dari yang lain.

Kata-kata yang menghina, kasar dan kesat tidak mampu mengubah dan menambat hati seseorang.

Allah SWT memberi ibarat bahawa kata-kata yang baik itu umpama pokok yang baik yang menghasilkan buahnya yang baik sepanjang tahun.

Pengucapan yang menghina ini sering kita dapati dalam majlis-majlis ceramah terutama dalam kempen-kempen pilihanraya.

Perbuatan yang tidak baik ini mestilah dihentikan serta merta lebih-lebih lagi bagi mereka yang termasuk dalam golongan ulama.

Tata kelakuan dan gerakgeri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan ajaran Islam.

Tingkahlaku yang kasar tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain.
Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara.

Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para ulama dan guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.

Kita bersyukur kepada Allah SWT, kerana pada masa ini umat Islam di Malaysia dapat berbangga dengan perkembangan Islam di bawah pimpinan. sedia ada yang mampu meletakkan negara ini setanding dengan negara-negara lain, malah lebih kehadapan dari negara-negara Islam seluruhnya.

Maka apakah kepimpinan Islam seumpama ini mampu dipertahankan pada tahun-tahun yang akan datang?

Sikap kita

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya.

Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilai-nilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya.

Dan yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup Islam yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya.

Penutup

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menetukan kesinambungan kepimpinan Islam dalam negara ini.

Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kepimpinan Islam masih belum pasti. Ayuhlah bersama menjayakannya.

Advertisements