FINAS Cadang Tubuh Sekolah Filem – Khusairi Talib

PETALING JAYA, 18 Jan – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bercadang membangunkan sebuah sekolah filem sebagai salah satu cara meningkatkan kualiti filem tempatan.

image

Pengerusinya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, berkata, sekolah filem tersebut akan memberi tumpuan kepada peringkat pensijilan dan kemahiran sahaja.

“Kami dalam rancangan untuk membina senuah sekolah filem bagi orang ramai yang berminat dalam industri ini terutamanya yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang cenderung kepada konsep vokasional.

“Sekolah ini hanya memberi tumpuan di peringkat pensijilan sahaja. Pendekatan berbeza dengan Aswara dan kita akan menggunakan tenaga pengajar daripada ahli-ahli persatuan yang ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil pengakuan sah industri kreatif 2016 kepada 236 ahlinya yang terdiri daripada pekerja-pekerja belakang tabir yang merupakan ahli Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pun bersetuju cadangan tersebut dengan dana sebanyak RM3.5 juta.

Tambahnya, sekolah tersebut juga dijangka akan didirikan di sebuah kawasan seluas lebih 2 hektar di Slim River, Perak.

“Kami sudah mengenal pasti tapak iaitu di Slim River, Perak kerana di sana ada tanah kosong yang sesuai dibangunkan menjadi sekolah.

“Saya akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk dapatkan tanah tersebut bagi tujuan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambahnya, selain kempen Wayang Pacak yang sedang berjalan, Finas juga bakal memupuk kesedaran tentang filem dengan menayangkan trailer filem-filem yang bakal keluar di pejabat kerajaan yang menjadi tumpuan orang awam.

“Kita juga akan tayang trailer filem-filem baharu di pejabat-pejabat kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Hospital Awam,” ujarnya.

Sementara itu, Finas juga akan menganjurkan malam penghargaan dan anugerah kepada wartawan-wartawan yang menulis tentang karya-karya filem tempatan.

Penganugerahan itu bagi meningkatkan semangat penulis dan wartawan untuk memberi promosi yang baik kepada penonton terhadap filem-filem tempatan.

“Anugerah ini dahulu pernah dianjurkan dahulu, kemudian dimansuhkan, jadi kami bercadang ingin wujudkan kembali pada tahun ini,” ujarnya.