Akta Kawal Dana Politik Sedang Diteliti – Johari Ghani

SERDANG, 27 Mac – Penggubalan akta atau undang-undang bagi mengawal sumbangan atau dana politik terhadap parti politik atau individu sedang diteliti sebuah panel, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

image

Beliau berkata panel berkenaan kini meneliti akta atau undang-undang berkaitan sebelum memutuskan bagaimana ia perlu dilaksanakan kelak.

“Panel tengah bincangkan undang-undang baharu yang boleh dipakai, kita sedang menanti keputusan itu. Senang nanti jika ada undang-undang baharu itu,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan menghentikan penerimaan dana politik dari luar negara.

Johari berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Perbendaharaan 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini Ahad.

Tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata satu mekanisme diperlukan bagi memastikan parti politik mendapat dana dari saluran yang betul.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti politik patut berhenti menerima dana politik dari luar negara.

Dalam perkembangan lain, Johari menyifatkan kenaikan 4.2 peratus Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2016 merupakan kesan serta-merta daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tahun lalu.

“Sesetengah para peniaga telah meningkatkan harga terutamanya barang bukan kawalan serta belum membiasakan dengan GST … saya yakin apabila GST menjadi sebahagian daripada sistem GST, maka harga barang-barang akan turun secara automatik,” katanya.